BAYANGKAN anda melangkah masuk ke K-Plus Food Market di The Curve, Mutiara Damansara dan terus disapa aroma kimchi yang pedas, masam, dan segar.
Warna merah jingga yang menggoda dari pelbagai jenis kimchi seolah menjemput anda untuk mencuba dan merasai sendiri rahsia di sebaliknya.
Inilah pengalaman yang ditawarkan Korea Kimchi Festival 2025, berlangsung dari 8 hingga 16 November 2025.
Bagi masyarakat Korea, kimchi lebih daripada sekadar lauk harian. Ia lambang sejarah, kesabaran, dan teknik fermentasi yang diwarisi turun-temurun.
Kini, rakyat Malaysia berpeluang merasai keunikan hidangan tradisional ini sambil memahami nilai budaya yang dibawa setiap suapan.
Menurut Pengerusi KMT Group of Companies, Datuk Matthew Lee, adalah satu penghormatan untuk memperkenalkan hidangan kebanggaan Korea kepada rakyat Malaysia.
"Kami mahu mereka menikmati rasa dan kepelbagaian kimchi seperti mana kami menghargainya di tanah air. Festival ini bukan sekadar soal makanan, tetapi juga tentang menyatukan budaya.
“Kimchi adalah sebahagian daripada kehidupan orang Korea. Setiap tahun pada 22 November, kami meraikan Hari Kimchi.
"Ia bukan sekadar sambutan makanan, tetapi masa untuk komuniti berkumpul dan berkongsi. Festival ini membawa semangat itu ke Malaysia,” ujarnya.
MENYATUKAN BUDAYA
Di festival ini, pengunjung boleh menyertai kelas dan demonstrasi pembuatan kimchi bersama Madam Yoo Jung Im, First Certified Kimchi Master dari Korea, yang berkongsi rahsia serta falsafah penyediaan kimchi tradisional.
Ada juga pameran dan sesi rasa pelbagai jenis kimchi premium, serta zon budaya interaktif yang membawa pengunjung menyusuri sejarah kimchi dari kaedah pengawetan tradisional hingga pengiktirafannya sebagai superfood dunia yang kaya probiotik dan antioksidan turut disediakan.
“Festival Kimchi ini bukti bahawa makanan mampu menyatukan budaya. Ia bukan sekadar rasa, tetapi warisan yang dikongsi bersama,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengarah aT Center Kuala Lumpur, Chang Chung Ho menambah, setiap produk yang dibawa ke festival ini telah disahkan halal, menjadikannya lebih mudah diterima masyarakat Muslim di Malaysia.
Bagi penggemar kulinari, festival ini membuka mata bahawa kimchi bukan sekadar side dish. Ia boleh dijadikan bahan utama dalam sup, stew, nasi goreng, atau pelbagai hidangan fusion moden, membuktikan fleksibiliti dan kreativiti dalam dunia masakan.
Selama sembilan hari festival ini, pengalaman merasai kimchi membawa pengunjung bukan sekadar ke dapur Korea, tetapi juga menyelami budaya, tradisi, dan semangat kekeluargaan masyarakat Korea.
Selepas acara utama di The Curve, promosi kimchi akan diteruskan di rangkaian pasar raya utama sehingga 23 November 2025, memberi peluang lebih ramai rakyat Malaysia menikmati rasa autentik Korea di rumah masing-masing.