REZEKI memang tak pernah salah alamat. Kadang-kadang kita tak sedar, setiap langkah kecil seorang ayah itulah yang akhirnya membentuk kejayaan besar buat anaknya.
Begitulah kisah yang menyentuh hati apabila pelawak disayangi ramai, Wahid Senario, hadir ke majlis graduasi anak keduanya, Muhammad Wazif, yang menamatkan pengajian Diploma Sains Sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Di sebalik gelak tawa yang sering lelaki itu hadiahkan kepada orang ramai, tersimpan pengorbanan yang jarang didedahkan.
Wahid bukan sekadar pelawak, dia ayah yang gigih, mencari rezeki demi memastikan anak-anak dibesarkan dengan penuh peluang dan harapan.
Dan hari graduasi itu…adalah hari yang mana segala penat lelahnya seperti dibayar tunai di hadapan mata.
Saat melihat anaknya melangkah ke pentas, memegang sijil dengan senyuman penuh bangga, seolah seluruh perjalanan hidup mereka kembali terlayar satu persatu, susah senang, tawa dan air mata, harapan yang hampir padam dan doa yang tak pernah berhenti.
Momen itu menjawab segalanya. Ia seolah berkata, “Ayah, usaha ayah tak sia-sia.”
Kejayaan Wazif bukan sekadar kemenangan seorang pelajar, tetapi kemenangan sebuah keluarga.
Ia menjadi bukti bahawa bila seorang ayah melangkah dengan ikhlas, anak akan berlari lebih jauh dengan bangga. Bila doa bercampur usaha, ALLAH hantarkan kejayaan dengan cara paling indah.
Wahid turut berkongsi kegembiraannya menerusi Instagram miliknya.
"Moga ALLAH permudahkan urusan dunia akhirat..terima kasih juga pihak @upsi_malaysia atas layanan diberikan.
"Semoga UPSI terus maju sebagai sebuah universiti yang terbaik..insha-ALLAH ada rezeki kita berjumpa lagi..
kome steady…
teman steady…
Alhamdulillah.."
Hantaran ahli kumpulan Senario itu meraih perhatian warga maya. Rata-rata menitipkan ucapan tahniah atas pencapaian tersebut.