KELAHIRAN bayi sulung hadiah paling bermakna dalam hidup penyanyi dan komposer, Noh Salleh yang kini memasuki fasa keibubapaan bersama isteri tersayang, Fatin Athira Mustapa.
Pada 21 November lalu, pasangan itu menyambut kelahiran bayi perempuan comel yang diberi nama Tara Svara.
Berita penuh syukur tersebut dikongsikan Noh menerusi hantaran di Instagram pada awal pagi Rabu dan segera mengundang kegembiraan ramai.
Dalam kapsyen menyentuh hati, penyanyi Hujan itu mengimbas perjalanan panjang yang dilaluinya bersama isteri sebelum dikurniakan zuriat.
Katanya, kelahiran Tara mengajar mereka tentang reda, sabar dan percaya pada perancangan Tuhan.
"Tidak lambat, tidak terlalu cepat, perfect,” coretnya penuh syukur.
Penyanyi itu turut berkongsi beberapa foto momen kelahiran, memperlihatkan detik penuh emosi, sokongan keluarga dan wajah bahagia menyambut ahli baharu dalam keluarga kecil mereka.
Menurut Noh, proses kelahiran berjalan lancar dan pastinya menjadi kenangan paling manis dalam hidupnya.
“Isteri saya telah melahirkan anak pertama kami. Seorang anak perempuan yang sihat dan sangat cantik.
"Berkat doa restu orang tua, keluarga, sahabat dan anda semua, proses kelahiran sangat lancar dan meriah kerana ditemani pelukan, ciuman dan sorakan,” katanya.
Berkongsi pemilihan nama Tara Svara itu pula ungkapnya, ia menjadi simbol permulaan perjalanan baharu sebagai ibu bapa, fasa penuh tanggungjawab, pembelajaran dan cinta tanpa batas.
Menerusi hantaran sama, Noh memohon doa agar keluarganya sentiasa berada dalam lindungan Ilahi.
"Doakan aku, Athira dan Tara Svara,” ujarnya.
Ruangan komen dipenuhi ucapan tahniah daripada rakan artis, sahabat industri dan para peminat yang tumpang gembira dengan kelahiran puteri sulung pasangan itu.
Ramai turut mendoakan agar Tara membesar sihat, menjadi anak solehah dan membawa kebahagiaan kepada keluarga.
Untuk rekod, Noh pernah berkongsi kisah sedih di Instagram apabila kehilangan anak sulung mereka yang diberi nama Julian.
Sekadar makluman, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada September 2023.
Terdahulu Noh pernah berkahwin dengan penyanyi Mizz Nina pada 2011 sebelum berpisah pada Ogos 2022.
Hasil perkahwinan itu mereka tidak dikurniakan zuriat tetapi memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Musa.