MIMPI ngeri yang menghantui 36 pelajar dan dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) di Hatyai, Thailand, akhirnya berakhir dengan laungan syukur apabila kesemua mereka berjaya diselamatkan hari ini.
Terkandas dalam bencana banjir yang melanda selatan Thailand sejak 22 November lalu, kepulangan mereka yang selamat ke tanah air dinantikan dengan penuh kesyukuran.
Mereka yang merupakan sebahagian daripada rombongan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) berada di sana bagi menyertai Program Pertukaran Budaya Thai-MYS 2025.
Apa yang bermula sebagai lawatan akademik bertukar menjadi pengalaman ngeri apabila air bah naik mendadak, menyebabkan mereka terperangkap tanpa jalan keluar.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang mengumumkan berita gembira ini di laman Facebook berkongsi kisah pemindahan ini adalah bukti koordinasi luar biasa antara pelbagai pihak.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan UUM,” ujar beliau, menekankan keberkesanan operasi menyelamat yang berjalan dengan selamat dan teratur.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan UUM atas koordinasi yang amat berkesan dalam memastikan operasi menyelamat ini dapat dijayakan dengan selamat dan teratur.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, operasi pemindahan yang besar ini turut melibatkan lebih 700 rakyat Malaysia yang lain dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam, Kedah. Penurunan paras air selepas hujan lebat reda petang semalam menjadi 'lampu hijau' untuk pasukan penyelamat Malaysia dan Thailand mencapai lokasi-lokasi terputus hubungan.
"Semoga urusan seterusnya dipermudahkan. Insya-ALLAH," katanya.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini berkata, lebih 700 rakyat Malaysia berjaya dipindahkan dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam, Kedah susulan banjir melanda selatan Thailand, termasuk mereka yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS), menurut laporan Konsulat Jeneral Malaysia di negara itu semalam.
Beliau menambah, operasi pemindahan itu dapat digerakkan berikutan penurunan paras air selepas hujan lebat reda pada petang semalam, sekali gus membolehkan pasukan Malaysia dan Thailand mengakses lebih banyak lokasi yang sebelum ini terputus hubungan- BERNAMA