DALAM kesibukan penyanyi Sissy Imann menghadirkan muzik yang menenangkan jiwa, rupa-rupanya diam-diam, hatinya sendiri sudah bertemu tenang yang dicari.
Tanpa gimik, tanpa drama, penyanyi bersuara jernih itu akhirnya berkongsi khabar paling manis dalam hidupnya, dia bakal melangkah ke alam perkahwinan dengan lelaki yang hadir seperti doa yang termakbul pada waktu paling tepat.
Penyanyi dan komposer itu mencuri perhatian ramai apabila mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya bulan ini.
Lebih membuatkan peminat tersenyum, lelaki tersebut bukan berasal dari dunia hiburan, sebaliknya seorang doktor yang dikenali Sissy pada awal tahun ini.
Pemilik nama penuh Sissy Imann Mohammad Kamil itu berkata, buat masa ini, dia memilih untuk menyimpan tarikh majlis sebagai privasi kedua-dua belah keluarga.
“Apa yang boleh saya kongsikan, Insya-Allah saya bakal berkahwin. Tarikh tu saya simpan dulu untuk keluarga dan menghormati keluarga pihak sana.
“Satu perkara yang saya boleh sahkan, bakal suami bukan rakan industri. Tak ada kena mengena dengan dunia muzik.
"Kami kenal tahun ini. Mungkin rezeki, mungkin masa memang dah sampai,” ujarnya sambil tersenyum.
Sissy ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya bertajuk ‘Dengan Kamu’, sebuah lagu yang kebetulan seperti mengiringi perjalanan baharu dalam hidupnya.
Hari bahagia
Menurutnya, persiapan menuju hari bahagia juga hampir selesai sepenuhnya.
Dalam berbicara tentang ciri-ciri lelaki yang berjaya membuka pintu hatinya, Sissy menegaskan bahawa hubungan baik dengan keluarga adalah keutamaan utama sejak dulu lagi.
“Saya sangat rapat dengan keluarga. Jadi sesiapa saja yang ingin rapat atau berkawan dengan saya, mestilah seseorang yang boleh ‘masuk’ dengan ayahanda dan bonda. Itu syarat nombor satu.
“Kali ini… dia lain sikit. Dia sangat menghormati keluarga saya, dan itu antara perkara yang buat saya yakin,” katanya.
Lebih manis, perkenalan pertama mereka berlangsung dengan cara yang tidak dirancang, tetapi cukup mengukuhkan rasa bahawa jodoh hadir pada saat yang tak disangka.
“Ketika itu saya adalah pesakit di pusat perubatan tempat dia berkhidmat. Dari situ semuanya bermula,” katanya ringkas, namun jelas terselit bahagia dalam suaranya.
Sebelum pengumuman ini, warganet sempat berteka-teki apabila Sissy memuat naik gambar memakai cincin yang dilihat seperti ‘hint’ hubungan serius. Kini teka-teki itu terjawab, wanita itu kini benar-benar sudah bertemu cinta yang tepat.
Dengan single baharu dan perjalanan hidup yang memasuki bab seterusnya, peminat jelas tidak sabar menantikan hari besar penyanyi berbakat ini.
Yang pasti, fasa baharu Sissy bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang ketenangan yang akhirnya menemui pemiliknya.