KEHIDUPAN rumah tangga selebriti sering menjadi perhatian ramai, tetapi bagi pasangan suami isteri, Zahiril Adzim dan Shera Aiyob, menjaga privasi dan fokus pada keluarga adalah keutamaan mereka.
Pasangan suami isteri itu baharu menyambut ulang tahun perkahwinan ke-14 pada 20 November lalu.
Dalam temu bual eksklusif bersama SinarPlus, kedua-duanya berkongsi pandangan mereka tentang bagaimana mereka mengekalkan keharmonian di tengah-tengah cabaran dunia moden.
"Sebagai suami isteri, kami mengambil pendekatan tak campur dalam mana-mana kes sesiapa (selebriti). Kami ada rumah tangga yang perlu dijaga.
"Kami cakna isu tersebut, tetapi tak bercakap-cakap, fokus menjaga rumah sendiri dan tidak terlalu ambil peduli hal orang lain.
"Memang ada isu di sekeliling, tapi kami tak nak cakap macam-macam," kata pemilik nama sebenar, Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar.
Shera menambah, cabaran terbesar kini adalah media sosial dan penggunaan telefon pintar yang meluas.
"Kadang-kadang bila terlalu emosi, kita susah nak kawal tindakan sendiri. Jadi, kalau diri sendiri rasa tidak puas hati, saya akan kawal emosi berkali-kali.
"Telefon memang di tangan kita, tapi penting untuk kita fikir panjang sebelum bertindak. Bila kita tulis sesuatu, ia akan kekal, jadi kena faham kesan setiap perkataan.
"Kalau ada masalah, kena selesaikan dengan cara yang betul," jelas ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu.
Pun demikian kata Zahiril, setiap orang mempunyai pilihan masing-masing.
"Setiap individu ada hak dan cara mereka sendiri. Biarlah mereka cakap, mungkin dengan cara berkongsi (di media sosial) boleh membantu dalam rumah tangga mereka, memupuk kasih sayang," tambahnya.
Menyentuh tentang pandangan Shera terhadap suami berlakon bersama pelakon wanita lain, empunya diri mengakui tiada masalah dengan perkara tersebut.
"Saya tak ada masalah dengan suami berganding dengan artis wanita lain. Kebanyakannya, saya mengenali mereka dan terbiasa.
"Sebenarnya, saya lebih suka suami keluar bekerja daripada duduk di rumah lama-lama.
"Lagipun, saya sudah biasa dengan situasi tersebut dan memahami kerja-kerja suami, jadi tak timbul rasa cemburu atau tidak puas hati," ungkapnya lagi.
Utamakan keluarga
Pada masa sama, anak kelahiran Perak itu mengakui, rutin harian sebagai seorang isteri dan ibu adalah menjadi keutamaannya.
"Saya sudah biasa urus rumah tangga, tapi bukan bermakna tidak shooting. Saya tetap terlibat jika ada kempen atau projek tertentu.
"Cuma kalau episod terlalu panjang, saya perlu fikir semula. Alhamdulillah, suami sangat menyokong, tidak pernah menghalang jika saya nak berlakon.
"Saya terikat dengan rutin sebagai isteri dan ibu, jadi uruskan hal famili, rumah dan sebagainya. Keutamaan saya buat masa sekarang lebih kepada membesarkan anak," katanya.
Sekadar makluman, pasangan sama cantik sama padan itu berkahwin pada 20 November 2011. Majlis pernikahan mereka diadakan di Ipoh, Perak.
Hasil perkongsian hidup Zahiril dan Shera dikurniakan seorang anak lelaki bernama Nadi Anaqi.
Kehidupan pasangan ini membuktikan bahawa dengan komunikasi yang baik, kepercayaan, dan pengurusan emosi yang bijak, rumah tangga selebriti boleh kekal harmoni walaupun di tengah-tengah dunia media sosial yang pantas dan mencabar.