DI sebalik ketangkasan di pentas dan senyuman yang sering menghiburkan, pelakon versatil Nabila Huda kini berdepan ujian kesihatan yang tidak dijangka.
Saat sedang rancak membuat persiapan menjelang pementasan Teater Muzikal Masmoona, aktres berusia 40 tahun itu disahkan mengalami masalah slip disc pada bahagian L5, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat.
Menerusi perkongsian jujur di Instagram, Nabila atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi mengakui sebelum ini dia pernah berdepan sakit pinggang.
Namun, keadaan itu sudah lama ‘senyap’ dan tidak mengganggu rutin hariannya sehinggalah kesakitan tersebut kembali menyerang secara tiba-tiba.
"Nak dijadikan cerita dua hari lepas bangun tidur, tiba-tiba sakit tu ‘triggered’ balik,” kongsinya.
Menurut Nabila, kali ini kesakitannya jauh berbeza dan lebih mencabar berbanding sebelum ini sehingga menyukarkannya untuk berdiri.
“Kali ni sakit dia lain macam sampai susah gila nak berdiri,” katanya jujur menggambarkan situasi yang dialami.
Keadaan itu membuatkan pelakon filem Munafik tersebut panik, apatah lagi dia sedang berada dalam fasa penting latihan teater yang menuntut pergerakan fizikal dan komitmen tinggi.
Demi mendapatkan kepastian, ibu kepada seorang anak perempuan itu mengambil keputusan untuk menjalani pemeriksaan perubatan di hospital, termasuk menjalani imbasan MRI.
“Semalam sebelum pergi rehearsal, decide pergi hospital nak buat MRI dulu konon nak sedapkan hati je. Sekali didiagnos dengan slipped disc L5,” ujarnya.
Walaupun menerima tawaran cuti sakit (MC) daripada doktor, anak kepada penyanyi legenda Datuk Amy Search itu memilih untuk tidak berehat panjang.
Sebaliknya, dia tekad meneruskan tanggungjawab profesional yang telah diamanahkan kepadanya.
“Gila kau nak MC. Show esok kot, orang dah beli tiket. Siapa nak ganti watak Malam? No way,” katanya berseloroh, namun jelas menggambarkan dedikasi tinggi terhadap kerjaya seni.
Dalam masa sama, Nabila memaklumkan dia sudah merancang untuk menjalani rawatan fisioterapi selepas selesai menjayakan empat persembahan teater yang telah dijadualkan.
"Show must go on!” katanya dengan penuh semangat.
Prihatin dengan kebimbangan peminat, Nabila turut memberi jaminan bahawa keadaannya masih terkawal dan dia mampu menguruskan kesakitan tersebut dengan baik.
“Jangan risau semua, all good. I got this,” katanya ringkas namun penuh keyakinan.
Semangat juang dan profesionalisme yang ditunjukkan Nabila Huda nyata mencerminkan jiwa seorang anak seni sejati, yang bukan sahaja komited terhadap kerjayanya, malah tetap mengutamakan tanggungjawab walau diuji kesihatan.
Sumber: Instagram Kupu_kupu