DI zaman media sosial yang serba pantas, setiap perkara boleh jadi tular dalam sekelip mata.
Pelakon Amyra Rosli berkongsi pandangannya bahawa media sosial bukan ruang untuk meluahkan segala perasaan, terutamanya hal-hal sensitif yang melibatkan keluarga dan kehidupan peribadi.
"Risau dan sedih juga bila ia menjadi platform meluahkan segala-gala,” ujar Amyra dengan tenang.
Bagi isteri kepada aktor Amar bahrin, yang penting adalah muhasabah diri dan bersyukur.
“Saya ambil semua ni sebagai teguran untuk diri sendiri. Macam,"Oh begini ALLAH tunjukkan pada supaya lebih bersyukur, lebih menghargai keluarga, terutama suami dan anak-anak.
"Pada saya media sosial ini ibarat cermin, apa yang kita cakap tentang orang lain, akhirnya akan kembali kepada kita.
"Apabila membuka aib, bukan diri sendiri sahaja yang terkesan, malah keluarga turut menerima tempiasnya," tegasnya lagi.
Beri sokongan tanpa menghakimi
Pelakon drama Jangan Menangis Cinta itu menekankan tentang ujian yang dilalui orang lain mungkin datang kerana mereka lebih kuat.
“Harapnya semua yang menonton ni, doakan yang baik-baik untuk mereka.
"Itu je yang kita mampu buat,” tambahnya.
Selain pandangannya tentang media sosial, Amyra turut berkongsi azam dan fokus peribadinya menjelang 2026.
“Ni sebenarnya risau je terhadap orang, tapi itulah apa yang saya boleh kongsi.
"Kalau boleh, beberapa wishlist untuk 2025 dah saya capai, dan 2026 ni saya nak fokus sepenuhnya pada anak-anak,” katanya lagi.
Wajah baharu Siti Khadijah
Dalam perkembangan lain, Amyra sekeluarga turut menjadi wajah baharu bagi koleksi keluarga Siti Khadijah 2026, mencerminkan nilai kemesraan, kesederhanaan dan kekeluargaan.
Kehadiran mereka selari dengan aspirasi jenama ini untuk menyeimbangkan gaya hidup moden dengan nilai tradisi dan kesopanan.
Jenama berkenaan baru-baru ini terlibat dengan Konvensyen Hijrah Bergema 2025 yang berlangsung di PICC Putrajaya pada 30 dan 31 Disember 2025.
Pelbagai aktiviti kerohanian ditawarkan, termasuk ceramah motivasi, bengkel solat, dan konsert nasyid bersama barisan artis terkemuka.
Sempena konvensyen itu, Siti Khadijah memperkenalkan Koleksi Ramadan & Raya 2026, MUSHAFE, Warisan Darul Iman, diinspirasikan daripada Mushaf Terengganu, yang menggabungkan kehalusan seni Nusantara dengan sentuhan moden dan klasik.
Selain itu, jenama tersebut turut melancarkan kempen JEDA- Damai Dalam Waktu, satu ajakan untuk berhenti sejenak, memperlahankan langkah dan kembali mencari ketenangan dalam dunia serba pantas.
Kempen itu menekankan pentingnya memberi ruang untuk diri, keluarga dan Ilahi, selari dengan semangat Ramadan dan Syawal yang lebih tenang dan damai.