PEMERGIAN pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Allahyarham Syakirah Hanan Mazli, 25, mencuri perhatian ramai bukan sahaja kerana pencapaiannya dalam bidang akademik, tetapi juga kerana cara jenazahnya diuruskan.
Dikeluarkan dari kenderaan, tubuhnya telah ditutup rapi dengan kain putih, satu pemandangan yang membuatkan ramai terdiam, seolah-olah ALLAH sendiri memelihara maruah hamba-NYA hingga ke saat akhir.
Menurut wartawan yang berada di tempat kemalangan, Siti Jamilah Hanim Jamil melihat Allahyarham memakai handsock dan stoking.
Selama dua jam di lokasi kemalangan, jelasnya jenazah bakal pendidik itu ternyata apa yang dipelihara semasa hidup, ALLAH pelihara walaupun selepas meninggal dunia.
"Adik, saya tidak mengenali awak. Saya hanya wartawan membuat liputan kemalangan. Hampir dua jam di lokasi, saya hanya nampak tangan dan pertama sekali nampak awak pakai handsock. Saya kata bagusnya, tangan awak pun cantik.
"Saya tunggu lagi hingga jenazah awak dikeluarkan dan nampak sarung kaki. Terus saya katakan Alhamdulillah," kongsinya.
Malah menurut Siti Jamilah, graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir itu merupakan seorang guru al-Quran yang lembut kepada murid dan istiqamah memelihara aurat.
"Apabila saya buka Facebook, rakan saya Jijidiana Azmi berkongsi rupanya awak mengajar anak-anaknya membaca al-Quran.
"Katanya, awak cara mengajar mengaji lembut dan penuh ikhlas. Malah dia menyaksikan awak seorang yang sangat menjaga aurat. Allahu, asbab itulah ALLAH pelihara aurat awak dik. Jenazah awak cukup sempurna," kongsinya.
Sementara itu, pendakwah Ustazah Asma’ Harun berkongsi perihal pengurusan jenazah yang membuatkan ramai menitis air mata.
"Ada yang bercerita, ketika proses pengurusan jenazah dilakukan, satu perkara yang sangat menyentuh hati ramai pihak apabila jenazah Allahyarham ditutup dengan kain putih sejak awal proses dikeluarkan dari kenderaan.
"Ramai yang membantu menghampar dan memegang kain putih tersebut, sebagai usaha menjaga kehormatan seorang wanita yang telah pergi, apabila jasad dikeluarkan, ia berada dalam keadaan tertutup rapi dan terpelihara, seolah-olah ALLAH sendiri memelihara maruah hamba-NYA pada saat akhir kehidupannya," kongsinya.
Malah, Ustazah Asma' juga berkongsi bahawa Allahyarham Syakirah Hanan muncul sebagai graduan cemerlang mumtaz martabat syaraf ketika melanjutkan pengajian di luar negara.
"Allahyarham bukan sekadar seorang anak yang solehah, tetapi juga bakal pendidik, pelajar yang bijak, yang sedang membina masa depan mengambil sijil untuk menjadi guru.
"Hasrat untuk mendidik, menyumbang ilmu dan membentuk generasi tidak sempat direalisasikan di dunia, namun insyaAllah setiap langkahnya di jalan ilmu tetap dicatat sebagai ibadah di sisi ALLAH," titipnya.
Dalam pada itu, Ustazah Asma' sempat berkongsi tanda-tanda seseorang itu meninggal dunia dalam husnul khatimah, antaranya apabila seseorang itu pergi dalam keadaan beramal soleh.
"Ketika jasad anakanda Syakirah ini dikeluarkan, dia masih lengkap dengan pakaian menutup aurat dengan sempurna, walaupun kita tahu keadaan kereta yang dinaikinya remuk teruk.
"Allahuakbar, satu keadaan yang menggetarkan hati dan mengundang air mata. Semoga ini menjadi pengharapan dan pengajaran buat kita yang masih diberi umur. Bahawa penutup hidup bukan dinilai pada panjang usia, tetapi pada bagaimana ALLAH memilih kita pergi," titipnya lagi.
Terdahulu, Allahyarham Syakirah Hanan meninggal dunia selepas dirempuh di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Terengganu pada Isnin.
Difahamkan, Allahyarham dalam perjalanan Perpustakaan Awam Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk menyelesaikan urusan latihan mengajarnya dijadualkan pada Mac ini.
Allahyarham Syakirah Hanan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Honda Jazz yang merempuh Perodua Viva yang dipandu Allahyarham mengalami Major Depressive Disorder dan memiliki rekod rawatan psikiatri.
Suspek berusia 32 tahun itu dikatakan menceroboh masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis Honda City yang parkir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai sebanyak RM200 sebelum memecut laju kereta serta terlibat kemalangan.