Lalu lokasi kemalangan, bapa tak sangka detik akhir anak pergi selamanya. Tidak sempat praktikal, video tular Teacher Syakirah undang sayu
'DARI jauh saya nampak ada kemalangan. Keadaan kereta memang teruk dan masa lalu kawasan kemalangan tu, saya ternampak ada seorang lelaki memakai baju kuning di tempat kejadian.'
Demikian luah bapa, Mazli Yusoh, 51, tidak menyangka kemalangan yang dilihat itu melibatkan cahaya mata sendiri.
Dia yang dikatakan melalui kawasan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan sekitar jam 1.30 tengah hari tidak terfikir langsung kereta yang musnah teruk itu dipandu anaknya, Allahyarham Syakirah Hanan, 25, dan teruskan perjalanan.
Mazli yang ditemui Sinar Harian di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kemudian menerima panggilan daripada pegawai trafik yang memaklumkan nombor pendaftaran kenderaan terlibat adalah atas namanya.
"Apabila pegawai trafik menghubungi dan menyebut nombor pendaftaran kereta itu atas nama saya, saya terus terkejut dan berpatah balik.
"Ketika itu barulah saya dimaklumkan anak saya yang terlibat dalam kemalangan itu," katanya.

Ujar Mazli , kali terakhir dia bertemu Allahyarham adalah sebelum kejadian, ketika anaknya memaklumkan mahu ke perpustakaan dan menguruskan beberapa perkara berkaitan pengajian.
"Saya masih terkejut kerana pemergiannya berlaku secara tiba-tiba. Tapi sebagai orang Islam, saya reda dan menerima ketentuan ini sebagai takdir ALLAH SWT," katanya.
Bapa kepada tujuh cahaya mata itu juga mengakui dia agak terkilan kerana cita-cita Allahyarham yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir dan pelajar Diploma Lepasan Ijazah (DPLI) Pendidikan Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menjadi seorang guru agama mengikut jejak langkahnya tidak kesampaian.
"Saya dan ibu arwah kedua-duanya guru. Saya mengajar di SMK Putra, Besut manakala isteri saya, Nurul Huda Ibrahim, 50, bertugas di SMK Nasiruddin Shah.
"Memang harapan kami agar arwah mengikut jejak langkah menjadi pendidik. Namun, hasrat itu tidak kesampaian. Saya reda dan pasrah atas ketentuan ini," ujarnya.
Difahamkan, Allahyarham Syakirah Hanan bakal menjalani latihan praktikal sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wataniah, Jerteh, Besut bermula Mac depan.
Terdahulu, Allahyarham disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas Perodua Viva dipandunya dirempuh Honda Jazz dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Terengganu.

"Siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu mangsa datang dari arah UniSZA menghala ke Bukit Kecil.
"Ketika berhenti di lampu isyarat dan mula bergerak membelok ke kanan selepas lampu bertukar hijau, kenderaan mangsa telah dirempuh sebuah Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan," ujarnya.
Kata Azli, pemandu Honda Jazz ialah seorang lelaki berusia 32 dan kini menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana patah tangan kanan dan tengkuk.
Dalam pada itu, tular di laman sosial video memaparkan Allahyarham memberikan pelukan kepada murid tadika di sebuah majlis graduasi menyentuh hati warganet. Kelembutan Allahyarham melayani murid-murid dikenang ibu bapa.
"Teacher kepada anakanda Hana. Jumaat 2 Januari 2026 last jumpa teacher di majlis ihtifal dan presentation day.
"Teacher Syakirah adalah teacher kesayangan Hana. Tidak pernah marah dan selalu manjakan Hana. Arwah sangat baik dan lembut orangnya. Ya ALLAH teacher.
"Ya ALLAH Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, mulakanlah kematiannya. Semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” titipnya.
Malah menurut sepupunya, Allahyarham seorang yang lembut dan dibesarkan dengan sempurna.
"Arwah sepupu saya ni memang baik orangnya. Memang sangat menjaga dan dibesarkan dalam keluarga dengan ajaran Islam yang secukupnya. Familinya iaitu pak su dan mak su saya sangat baik. Syakirah pun tidak pernah tinggi suara kepada sesiapa, lemah lembut sangat orangnya.
"Luruh jantung apabila menerima berita kemalangan ini. Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman," kongsi pengguna TikTok Fara Husnaa.
Warga maya termasuk tidak dapat menahan air mata dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.
"Kasut yang dia pakai ada di tempat kemalangan tadi.:
"Al-Fatihah untuk Cikgu Syakirah Hanan. Moga rohnya dtempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Syurga buatmu cikgu."
Sumber: TikTok, Sinar Harian, FB Unisza
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

