BAGI mereka yang bergelar anak seni, nilai diri sering menjadi topik sensitif, lebih-lebih lagi apabila melibatkan bayaran dan peluang kerja.
Namun bagi pelakon Nelissa Nizam, setiap individu berhak menentukan harga dan hala tuju kerjaya masing-masing, tanpa perlu dipertikaikan secara terbuka.
Menurut Nelissa, isu pelakon yang meletakkan bayaran tinggi seharusnya dilihat dari sudut nilai peribadi dan kemampuan diri, bukan dijadikan bahan kecaman.
Tegasnya, ‘demand’ seseorang pelakon mencerminkan keyakinan terhadap apa yang mampu ditawarkan oleh tuan punya badan.
“Semua terserah pada diri sendiri. Kalau mereka nak ‘demand’, itu nilai mereka. Tak perlu nak marah. Kalau rasa tak mahu ambil, tak perlu ambil,” katanya ketika ditemui SinarPlus.
Pemilik nama sebenar Nelissa Edreena Nizam itu turut mengingatkan agar setiap pihak lebih berlapang dada dalam menilai situasi, termasuk memahami kedudukan dan keutamaan masing-masing.
“Kalau nak marah atau mengadu, kena fikir dulu siapalah kita untuk merendahkan nilai seseorang,” ujarnya tenang.
Dalam dunia seni yang sentiasa berubah, Nelissa percaya komunikasi dan toleransi antara pelakon dan pihak produksi adalah kunci utama kelangsungan kerjaya.
Setiap keputusan, katanya, perlu dibuat dengan jelas, sama ada mengutamakan peluang, pengalaman atau pulangan kewangan.
“Memang kena berbincang dengan produksi juga dan lihat apa yang awak nak, sama ada peluang, kerja atau duit yang banyak. Semua itu saling berkait,” jelas pelakon drama Tarik Aku Ke Syurga itu.
Nilai bayaran setanding kualiti
Bagaimanapun, Nelissa menegaskan bahawa nilai bayaran perlu seiring dengan kualiti kerja serta sikap profesional di set penggambaran.
Harga yang tinggi tanpa disiplin dan etika kerja yang baik, menurutnya, tidak membawa makna.
“Kalau mahal tetapi perangai di set macam mana pula, tak guna juga. Semua kena selari.
"Ikut awak nak letak harga berapa pun, tengok juga kerja apa yang awak dapat,” katanya jujur.
Tambahnya lagi, setiap pelakon perlu sedar apa pulangan yang mampu diberikan kepada produksi agar nilai yang ditetapkan setimpal dengan hasil kerja.
“Kalau awak letak lebih dan orang tak panggil, tak boleh marah.
"Sebab awak sendiri yang letak harga yang tak setanding dengan ‘value’,” ujarnya yang menyerahkan sepenuhnya urusan bayaran kepada pengurus.
Nelissa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran HER Series: Preview High Tea yang berlangsung di Royal Chulan Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Pada majlis tersebut, beliau turut memperkenalkan koleksi perniagaannya menerusi HER Series, sebuah projek berkonsepkan gaya hidup dan pemerkasaan wanita yang bakal tampil dengan empat episod sepanjang tahun ini.
Episod pertama menampilkan Nelissa sendiri dengan pilihan warna merah ‘bold’, melambangkan keyakinan, keberanian serta semangat women empowerment, selari dengan prinsip yang dipegangnya dalam kerjaya dan kehidupan.