KEHILANGAN pelakon Nadia Kesuma terus menggemparkan dunia seni tanah air. Isu berkaitan mesej 'I met stranger' dihantar Nadia kepada suaminya sejurus sebelum tidak dapat dijejaki telah disalah ertikan oleh segelintir pihak, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi dan kebimbangan dalam kalangan peminat.
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah dalam kenyataannya memaklumkan kiriman teks Nadia berkenaan adalah untuk memaklumkan dia bersama jemaah yang baharu dikenali.
"Seniman ingin menegaskan bahawa Nadia Kesuma ada mengirimkan WhatApps kepada suami beliau sejurus mendarat di Jeddah, namun ayat ‘I met Stranger’ itu bermaksud beliau bersama jemaah dalam trip yang dia baru kenali bukan bermaksud berjumpa dengan orang lain atau sebaliknya.
"Kami menggesa agar semua pihak berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengelirukan masyarakat dan menjaga sensitiviti pihak keluarga yang berada dalam keadaan kerisauan," kongsinya.
Malah kegagalan untuk mengesan keberadaan Nadia telah dimaklumkan kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam kenyataan yang sama, Hafiz memaklumkan Nadia yang dikhabarkan hilang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah pagi semalam pada jam 6.20 pagi waktu tempatan.
"Hasil daripada data dan maklumat awal yang kami perolehi mendapati dia sepatutnya menaiki penerbangan ke London pada jam 8.30 pagi setelah transit sekitar dua jam di Jeddah.
"Namun dia tidak menaiki pesawat untuk ke London dan tidak dapat dikesan setelah ke tandas.
"Beberapa kali nama dia dipanggil di lapangan terbang namun masih tidak memunculkan diri.
Menurutnya, usaha menjejaki Nadia sedang giat dilakukan termasuk untuk mendapatkan akses rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lapangan terbang.
"Kami difahamkan, pihak keluarga dan konsulat Malaysia di Jeddah telah membuat laporan polis pada hari ini untuk pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkuasa Arab Saudi boleh menjalankan siasatan sekaligus membolehkan pihak berkuasa Arab Saudi melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lapangan terbang untuk menjejaki Puan Nadia Kesuma.
"Seniman mendoakan keluarga Puan Nadia Kesuma kuat menghadapi saat kesukaran dan mendebarkan ini.
"Kami percaya bahawa pihak berkuasa Arab Saudi akan berkerjasama rapat dengan pihak konsulat Malaysia di Jeddah untuk mendapatkan maklumat lanjut serta segera untuk menjejaki keberadaan Nadia Kesuma," titipnya.
Menurut Hafiz, pihaknya akan berkongsi perkembangan dari masa kesemasa berkenaan dengan isu ini sekiranya ada maklumat lanjut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi agensi pelancongan Nuh Travel & Tours, Mohammad Adam Jalalel Din menerusi Facebook memaklumkan Nadia Kesuma tidak menaiki pesawat yang sepatutnya dijadualkan daripada Jeddah ke London.
"Kami dimaklumkan oleh mutawif yang Puan Nadia tidak menaiki pesawat tersebut seperti yang dijadualkan.
"Team kami di Jeddah telah bersama dengan Konsulat Malaysia menjalankan usaha untuk mengesan jemaah Puan Nadia di lapangan terbang. Sama-sama kita berdoa supaya kesihatan dan keselamatan Puan Nadia.
"Pagi tadi pun team saya mengadakan doa selamat semoga dipermudahkan urusan Puan Nadia di Jeddah insya-ALLAH. Jadi kami akan kemas kini status berkenaan Puan Nadiah dari masa ke semasa insya-ALLAH.
Terdahulu, SinarPlus berkongsi kehilangan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu yang ke Jeddah atas urusan umrah ziarah sebelum ke London dan Paris tidak mendaftar masuk untuk penerbangan sambungan ke London seperti dijadualkan.
Rakan baiknya yang juga pelakon dan Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah berkata Nadia berangkat ke Tanah Suci secara bersendirian.
Sumber: Facebook