‘Dia Ada Sense of Privacy’, - Dedah Fatima warisi minat fesyen, Fazura bukan duta, kolaborasi bersama Jakel cetus fenomena raya 2026

Iklan

SOROTAN lampu, helaian kain yang beralun anggun dan debaran menanti sesuatu yang luar biasa, itulah suasana yang menyelubungi pentas Jakel Fenomena Raya 2026.

Namun di sebalik gemerlap pertunjukan fesyen berskala besar itu, ada kisah tentang perancangan, kepercayaan dan rezeki yang diatur dengan penuh hikmah.

Iklan
Iklan

Lebih mencuri tumpuan, acara bersejarah itu menyaksikan kolaborasi eksklusif Jakel bersama Nur Fazura, bukan sekadar simbol fesyen, tetapi naratif tentang perjalanan seorang wanita, ibu dan figura industri yang terus melangkah dengan penuh tawaduk.

Berbeza daripada pelantikan duta, kerjasama ini merupakan kolaborasi khas eksklusif Jakel bagi tahun 2026, sekali gus mencetuskan fenomena dan keterujaan dalam kalangan peminat serta pemerhati industri fesyen tanah air.

Iklan

Menurut Fazura, kolaborasi bersama Jakel ini boleh disifatkan sebagai yang terbesar dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, sekali gus membuka tirai tahun 2026 dengan penuh makna.

“Alhamdulillah, boleh dikatakan ini adalah permulaan tahun 2026 yang paling besar. Kita merancang, tapi ALLAH yang menentukan. Kalau DIA reda, ia akan berlaku.

Iklan

"Kalau tidak, tak akan jadi. Banyak yang Faz rancang untuk tahun ini, insya-ALLAH, mudah-mudahan dipermudahkan,” katanya.

Tambah Fazura, kolaborasi ini benar-benar tidak disangka, namun jelas membuktikan aturan Ilahi yang tepat pada waktunya.

“Tak sangka ALLAH aturkan kolaborasi ini bersama Jakel. Alhamdulillah, Faz diberikan peluang mereka bentuk 51 rekaan baju Raya, ikut cita rasa dan gaya yang Faz sendiri gemari.

"Ini satu pelawaan yang Faz sangat syukuri dan hargai,” luahnya.

Menariknya, kolaborasi ini turut menyentuh sisi peribadi Fazura apabila anak perempuannya, Nur Fatima  Aisya, turut terlibat dalam sesi penggambaran dan memperkenalkan dirinya sebagai sebahagian daripada perjalanan tersebut.

Ketika ditemui SinarPlus, Fazura berkongsi bagaimana Fatima menunjukkan sikap profesional yang tidak disangka-sangka.

“Masa fotoshoot tu, dia sangat ‘memberi’ dan sangat detail. Kalau dia tak suka, dia akan cakap.

"Waktu tengok baju diperagakan, dia puji kata cantik. Malah, dia juga sangat komited dan suka fesyen.

"Selain itu, dia juga suka bernyanyi, berlakon dan channel YouTube sendiri. Ada sikit bakat mommy yang turun,” katanya sambil tersenyum.

Jelas Fazura, minat Fatima terhadap dunia kreatif bukan perkara baharu. Namun sebagai ibu, dia tetap berhati-hati agar anaknya tidak terlalu terdedah kepada dunia glamor.

"Sebenarnya faz tak ambil semua ni tapi pilih-pilih juga. Tak nak terlalu over expose dia sangat. Kalau yang berkualiti dan tak keterlaluan, Faz akan pertimbangkan.

"Ramai minta YouTube dan sebagainya, tapi Fatimah sendiri ada sense of privacy. Dia tahu bila dia nak tampil dan bila dia tak nak,” jelasnya.

Dalam nada penuh syukur, Fazura menegaskan segala yang berlaku adalah dengan izin ALLAH dan sokongan yang diterima datang daripada niat yang baik.

Transformasi Jakel yang ke-40

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pemilihan Fazura sebagai rakan kolaborasi dibuat kerana personalitinya yang memiliki keanggunan tersendiri, selari dengan Transformasi Jakel yang ke-40.

“Fazura melambangkan imej elegan dan sofistikated yang sangat bertepatan dengan hala tuju serta evolusi Jakel.

"Lebih istimewa, kolaborasi ini dilancarkan sempena acara fesyen tahunan kami yang buat julung kalinya dianjurkan secara besar-besaran dengan kehadiran pempengaruh serta personaliti media sosial,” katanya.

Beliau menambah, pada tahun ini jenama tersebut bekerjasama dengan selebriti berkenaan untuk menampilkan rekaan eksklusif menggunakan fabrik berkualiti tinggi, sekali gus mempersembahkan koleksi yang bukan sahaja unik, malah berkonsepkan inovatif dan dinamik.

“Ia bukan rekaan biasa. Setiap helaian direka dengan teliti bagi menampilkan konsep yang segar, bertenaga dan sesuai dengan trend tahun 2026,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Faroz berkata, proses untuk merealisasikan kolaborasi ini mengambil masa kira-kira tujuh hingga lapan bulan kerana menghormati kedudukan Fazura sebagai pemilik jenama sendiri.

“Kami menghormati keputusan beliau sepenuhnya. Namun Alhamdulillah, akhirnya Fazura bersetuju untuk bekerjasama dengan Jakel dan ia merupakan satu rezeki yang amat kami syukuri,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kolaborasi itu sebagai sesuatu yang sangat bermakna dan berharap koleksi tersebut dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Paling penting, koleksi ini ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mampu milik. Ia sesuai untuk semua, termasuk pasangan suami isteri,” katanya.