PELAKON Amar Baharin memuat naik satu hantaran di Instagram miliknya yang berkongsi situasi kesihatan isterinya, Amyra Rosli.
Dalam perkongsian itu, bapa kepada sepasang cahaya mata itu memberitahu bahawa isterinya mengalami komplikasi apendiks.
Pun begitu, pelakon wanita tersebut sudahpun selamat menjalani pembedahan dan kini sedang berehat.
"Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, Kau permudahkan pembedahan isteriku.
"Semoga ALLAH membalas kebaikan kamu-kamu yang mendoakan dengan kebaikan dan sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian," ungkap sang suami menerusi kapsyennya.
Perkongsian yang disertakan dengan dua keping gambar duta jenama Siti Khadijah di hospital dan meraih perhatian ramai.
Rata-rata warganet menitipkan doa supaya wanita berkenaan diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.
"Semoga Amyra diberikan kesembuhan sepenuhnya, aamiin."
"Syafakillah buat Amyra, bidadari Amar. Cepat-cepat sembuh.."
"Alhamdulillah.... semoga ALLAH permudahkan segala urusan dan memberi kesembuhan pada sakit Amyra."
"Semoga anakanda Amyra cepat pulih dan kembali sihat walafiat."
Dalam hantaran lain, Amar turut menitipkan doa buat isteri tersayang.
"Ya ALLAH, Kau kuatkan isteriku. Kau ringankan sakitnya. Kau kurniakan kesembuhan dan ketenangan hatiAmin," ujarnya lagi.
Sebelum itu, Amyra sempat berkongsi foto di set penggambaran dengan kapsyen, 'Before surgery, muka tak relax, apendiks tengah bengkak.'
Walaupun dalam keadaan tidak sihat, dia tetap profesional menjalankan tugasnya dengan meneruskan penggambaran.