AURA keibuan sememangnya menyerlahkan sisi keanggunan seorang wanita dan itulah yang terpancar jelas daripada pelakon jelita, Izara Aishah kebelakangan ini.
Tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada empunya diri, khabar gembira mengenai kehamilan anak ketiganya akhirnya terjawab apabila sebuah jenama tudung terkenal tampil membuat pengumuman istimewa menerusi media sosial.
Berita tersebut dikongsikan oleh Shawl Publika menerusi satu hantaran di Instagram baru-baru ini, sekali gus mengesahkan bahawa Izara kini sedang hamil cahaya mata ketiga.
Menariknya, dalam hantaran tersebut, Izara turut menulis komen memberitahu kandungannya kini sudah memasuki tujuh bulan.
Sekadar makluman, pengumuman itu dibuat sempena kolaborasi terbaharu jenama berkenaan yang menampilkan Izara sebagai wajah kempen koleksi terkini mereka.
Kehadiran Izara dalam kempen itu dianggap cukup istimewa kerana memperlihatkan figura seorang ibu hamil yang tetap tampil anggun dan penuh keyakinan. Shawl Publika turut meluahkan keterujaan mereka kerana dapat bekerjasama dengan muse yang sedang melalui fasa indah menantikan kelahiran zuriat.
“Izara sedang menantikan cahaya mata ketiga! Tahniah.
Kolaborasi tahun ini sangat istimewa sebab kami dapat muse yang sedang hamil.
Cantik dan comel je Izara pakai YASNA rona maroon walaupun tengah pregnant.
"Ini membuktikan semua mommies jangan risau, walaupun hamil tetap boleh muat dan cantik pagi raya okay,” tulis mereka dalam kapsyen tersebut.
Hantaran itu pantas meraih perhatian warganet apabila ramai peminat membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan doa buat Izara serta keluarganya.
Walaupun Izara sendiri tidak membuat sebarang pengumuman terbuka, perkongsian daripada jenama itu sudah cukup untuk menggembirakan peminat yang selama ini meneka perubahan fizikal dan seri wajah pelakon berusia 34 tahun itu.
Dalam visual kempen tersebut, Izara tampil berseri mengenakan busana rona maroon yang menyerlahkan gaya sopan namun moden.
Baby bump yang jelas kelihatan tidak langsung menenggelamkan aura elegannya, sebaliknya menambahkan lagi pesona seorang ibu yang sedang melalui detik kehamilan.
Secara tidak langsung, kempen ini membawa mesej positif bahawa kehamilan bukan penghalang untuk wanita terus tampil bergaya dan yakin dengan diri sendiri.
Malah, ia meraikan keindahan fasa keibuan yang sering dianggap antara saat paling bermakna dalam kehidupan seorang wanita.
Untuk rekod, Izara atau nama penuhnya Izara Aishah Hisham mendirikan rumah tangga dengan Adib Khalid pada 17 November 2017.
Pasangan itu sebelum ini dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Irisa Alaia yang kini berusia enam tahun serta Amara Amina yang berusia dua tahun.
Sejak bergelar ibu, Izara dilihat lebih aktif dalam dunia fesyen dan kolaborasi jenama berbanding dunia lakonan.
Gaya ringkas tetapi elegan yang sering ditampilkan menjadikan beliau antara ikon fesyen tempatan yang terus menjadi inspirasi ramai wanita.
Walaupun jarang berkongsi kisah peribadi secara terperinci, Izara sering memaparkan momen-momen sederhana bersama keluarga kecilnya yang jelas menggambarkan kebahagiaan rumah tangga yang dibina.
Kini, dengan kehadiran cahaya mata ketiga yang bakal menyusul, pastinya keluarga ini akan terus diserikan dengan lebih banyak momen manis.
Apa pun, khabar gembira yang diumumkan oleh Shawl Publika ini bukan sahaja mencuri perhatian peminat, malah turut menjadi inspirasi buat para ibu bahawa keanggunan seorang wanita tetap terserlah dalam apa jua fasa kehidupan.
Tahniah buat Izara Aishah dan keluarga atas rezeki indah ini. Semoga segala urusan dipermudahkan dan terus dilimpahi kebahagiaan.