ISU gaun yang digayakan Thalita, anak perempuan pelawak Shuib, baru-baru ini mencetuskan perbualan hangat di media sosial.
Bukan sekadar soal fesyen, tetapi turut menyentuh tentang didikan, batasan serta proses seorang remaja mengenali diri sendiri.
Tampil menjawab kritikan netizen menerusi satu siaran langsung di TikTok, ibu tirinya, Watie Hanifiah, berkongsi sisi sebenar di sebalik kontroversi tersebut.
Dalam suasana santai namun penuh makna, Watie yang kini sedang hamil menjelaskan bahawa perubahan minat Thalita berlaku secara semula jadi seiring usia yang semakin meningkat.
Menurut Watie, suatu ketika dahulu Thalita pernah menyuarakan hasrat untuk bertudung. Namun, apabila meningkat remaja, persekitaran serta fasa ingin mencuba pelbagai gaya fesyen membuatkan minat itu berubah.
“Thalita dulu pernah cakap nak pakai tudung. Bukan dia tak pernah nak pakai, tapi bila membesar, keadaan sekeliling buatkan dia berubah fikiran. Dia mula nak cuba apa sahaja yang dia suka pakai,” katanya.
Mengulas tentang gaun yang mencetuskan kontroversi, Watie menjelaskan pakaian tersebut memang menjadi pilihan Thalita sendiri, namun potongannya agak rendah di bahagian tertentu sehingga memerlukan sedikit pengubahsuaian pada saat akhir.
Malah, ahli keluarga termasuk Shuib turut menegur secara baik dan lembut.
“Ayah dia tak marah. Dia tegur dengan cara sopan, harap Thalita tak pakai baju macam itu lagi. Lagipun, baju-baju Thalita memang saya yang uruskan,” jelasnya.
Bagi Watie, apa yang berlaku dianggap sebagai satu proses pembelajaran buat Thalita. Dia percaya pengalaman menerima kritikan secara terbuka boleh membantu anak remajanya lebih peka dalam membuat pilihan, khususnya berkaitan pemakaian.
“Saya izinkan dia pakai. Bila dah pakai, dia sendiri nampak apa yang orang kecam. Dari situ, dia boleh fikir dan buat keputusan sendiri lepas ini.
“Kalau kita halang terus, budak seusia Thalita ini biasanya akan memberontak. Kalau kecaman itu yang buat dia tak mahu berpakaian seksi lagi dan jadi lebih baik, kenapa tidak?” katanya jujur.
Dalam masa sama, Watie tidak menafikan tanggungjawab sebagai ibu dalam membimbing anak-anak tentang dosa, halal dan haram.
“Bukan betul kalau orang kata mak tiri tak salah. Kita semua tahu batasan. Tapi yang penting anak-anak belajar buat pilihan dengan kesedaran sendiri, bukan sebab terpaksa,” tambahnya.
Titik perubahan
Menariknya, Watie turut berkongsi perjalanan peribadi yang menyentuh hati. Sebelum berkahwin dengan Shuib, dia sendiri belum bertudung dan merancang untuk berhijrah selepas mempunyai anak.
Namun takdir menemukan dia dengan Shuib lebih awal, yang akhirnya menjadi titik perubahan dalam hidupnya.
“Saya bertudung bukan sebab dipaksa. Tapi sebab ada sebab dalam hidup yang buat saya jadi lebih baik. Islam memang wajibkan bertudung, tapi kita manusia. Kadang-kadang perubahan itu datang melalui pengalaman,” katanya.
Bagi Watie, pengajaran terbesar daripada episod ini adalah tentang proses, kesedaran dan ruang untuk belajar, bukan hanya dalam soal fesyen, tetapi juga dalam memahami agama dan kehidupan.
Dalam dunia serba pantas hari ini, kisah ini menjadi peringatan bahawa setiap remaja melalui fasa pencarian diri. Dan sebagai ibu bapa, pendekatan penuh kasih sayang serta komunikasi terbuka mungkin lebih bermakna daripada larangan semata-mata.