DALAM fasa hidup seorang wanita, ada detik yang hadir tanpa dirancang namun terasa paling sempurna. Itulah momen yang sedang dinikmati pelakon dan model, Eyka Farhana, apabila berkongsi khabar gembira dirinya kini sedang berbadan dua.
Berita kehamilan itu dikongsikan Eyka menerusi Instagram miliknya, sekali gus mengundang rasa teruja dalam kalangan peminat.
Lebih manis, Eyka menyifatkan perjalanan hidupnya berubah dengan begitu indah hanya dalam tempoh setahun selepas bergelar isteri.
Menurutnya, perasaan yang dirasai ketika ini sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
“Daripada dua hati kepada tiga. Masya-ALLAH Tabarakallah, rezeki terbesar kami sedang dalam perjalanan,” kongsinya ringkas namun penuh makna.
Anugerah terindah
Dalam satu lagi perkongsian, Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi mengakui fasa baharu ini adalah anugerah yang terlalu indah untuk digambarkan.
“Bakal bergelar ibu, masya-ALLAH. Dalam tempoh setahun, hidup saya berubah dengan begitu indah daripada seorang isteri kepada bakal ibu.
“Tiada kata yang mampu menggambarkan betapa disayangi dan bersyukurnya hati saya saat ini,” coretnya jujur.
Tidak ketinggalan, Eyka turut memanjatkan doa agar kandungannya sentiasa dilindungi dan dikurniakan kesihatan yang baik.
“Semoga ALLAH melindungi bayi saya, dikurniakan kesihatan dan membesar dengan bahagia di dalam kandungan.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang menyayangi dan mendoakan kami,” tulisnya lagi.
Perkongsian tersebut pantas dihujani ucapan tahniah daripada peminat serta rakan selebriti yang sama-sama menzahirkan keterujaan dan mendoakan agar urusan kehamilannya dipermudahkan.
Untuk rekod, Eyka mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid pada 2 Mei lalu.
Pasangan ini disatukan dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Boathouse by The Lake, Ampang, Kuala Lumpur.
Kini, melangkah ke fasa baharu sebagai bakal ibu, Eyka dilihat semakin berseri, menikmati perjalanan hidup yang disifatkannya sebagai rezeki terindah daripada ALLAH SWT.