BAYANGKAN kalau peluang kerja dalam industri minyak dan gas yang selama ini nampak 'jauh' dan eksklusif, sebenarnya boleh didekati dalam masa kurang dua minggu.
Kedengaran macam mustahil, tapi realitinya itulah yang sedang dibuka kepada belia tempatan hari ini.
Melalui inisiatif Jana Kerja Malaysia, laluan kerjaya dalam sektor berimpak tinggi itu kini dirangka lebih mesra anak muda, khususnya mereka yang mungkin tidak mempunyai latar akademik tinggi tetapi mempunyai minat dan kesungguhan untuk bekerja.
Sepanjang tahun ini, program berkenaan menyasarkan sehingga 2,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang teknikal berkaitan minyak dan gas.
Inisiatif yang diterajui Arena Edu Ventures Sdn. Bhd. ini turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama Blitz Training & Consultancy Sdn Bhd serta syarikat induknya, HRSB Holdings Sdn Bhd.
Kerjasama tersebut dilihat sebagai persediaan memenuhi keperluan tenaga kerja mahir menjelang projek turnaround dan shutdown berskala besar yang dijangka berlangsung sepanjang 2026.
Antara bidang yang menjadi fokus termasuk Pipe Insulation, Scaffolding Erector dan Mechanical Fitter, semuanya mempunyai permintaan tinggi dalam industri.
Malah, hanya bagi tahun ini, keperluan tenaga kerja dianggarkan mencecah ratusan orang bagi setiap bidang.
Apa yang menarik, syarat kemasukan program ini agak inklusif. Belia berumur 18 hingga 30 tahun, termasuk lepasan SPM atau mereka yang tidak cemerlang akademik, masih berpeluang memohon.
Menurut Pengarah Arena Edu Ventures, Muhammad Faisal Suhaimi, calon hanya perlu boleh membaca, mengira, sihat tubuh badan dan mempunyai minat untuk belajar.
Bagi bidang Scaffolding misalnya, latihan asas hanya mengambil masa sekitar 12 hari.
Tempoh singkat itu diisi dengan modul intensif yang dibangunkan mengikut keperluan sebenar industri.
Selepas tamat latihan, peserta akan melalui fasa inkubator selama tiga bulan dalam persekitaran kerja sebenar sambil menerima gaji minimum sebelum dinilai untuk penempatan tetap.
Dalam jangka panjang, pendapatan bergantung kepada tahap kemahiran. Pekerja mahir seperti pengimpal, misalnya, berpotensi meraih pendapatan lumayan, bergantung kepada projek dan kepakaran.
Disiplin tinggi
Bagi melayakkan diri bekerja di loji, peserta perlu melengkapkan pelbagai pensijilan keselamatan, pemeriksaan kesihatan serta induksi.
Semua proses ini diuruskan sepenuhnya melalui konsep 'one-stop hub' di bawah Jana Kerja Malaysia, daripada Oil & Gas Safety Passport (OGSP) hingga CIDB Green Card.
Menurut wakil HRSB Holdings, industri minyak dan gas sememangnya menuntut disiplin tinggi serta pematuhan ketat terhadap piawaian keselamatan.
Justeru, program itu berfungsi sebagai 'jambatan' yang menyediakan calon lengkap dengan kemahiran dan sijil diperlukan sebelum diserap ke tapak kerja sebenar.
Menariknya, inisiatif tersebut tidak hanya tertumpu pada latihan teknikal. Peserta turut didedahkan dengan program transformasi minda, merangkumi disiplin kerja, pengurusan kewangan dan perancangan laluan kerjaya sehingga lima tahun akan datang.
Pendek kata, ia membuka perspektif baharu bahawa kerjaya dalam industri minyak dan gas bukan lagi sesuatu yang sukar dicapai.
Dengan latihan singkat, bimbingan berstruktur dan laluan kerjaya yang jelas, anak muda kini mempunyai satu lagi pilihan realistik untuk membina masa depan yang lebih stabil, tanpa perlu menunggu terlalu lama untuk bermula.