'Sedih tapi sudah takdir, saya reda.' Bakal bapa pilu isteri hamil maut kebakaran bersama kandungan tiga bulan

Iklan

SAYU! Bakal bapa ini terpaksa menerima suratan dalam sekelip mata, impian untuk menimang cahaya mata sulung berkecai apabila isteri tercinta pergi buat selama-lamanya dalam kebakaran rumah di Taman Damai Jaya, Johor Bahru.

Irfan Ibrahim terpaksa berdepan dengan kenyataan suri hati Wan Norhairani Wan Norzaini, 21, yang sedang hamil terkorban pada jam 5 pagi Selasa ketika dia sedang bekerja di sebuah kilang di Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Iklan
Iklan

"Isteri saya Wan Norhairani Wan Norzaini, 21, sedang mengandung tiga bulan selepas kami mendirikan rumah tangga dua tahun lalu.

"Saya kerja syif malam, dalam jam 6 pagi saya terima panggilan daripada keluarga beritahu rumah kami terbakar.

Iklan

"Saya bergegas balik, sampai rumah dalam jam 7 pagi, tengok api dah padam dan bomba serta polis dah sampai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Selasa.

Iklan

Jelas Irfan, dia dan isteri sudah setahun tinggal di rumah berkenaan yang juga rumah milik keluarga isterinya.

"Isteri saya asal dari Kuantan, Pahang. Ini kira rumah ibu mentua saya, kami tinggal di sini.

Turut meninggal dunia adalah rakan pasangan itu, Mohd Shahrizal Yap, 22, yang menumpang di rumah berkenaan sejak dua bulan lalu. Arwah dikatakan menyewa bilik di rumah teres dua tingkat itu.

Peristiwa pilu itu turut disedari jiran, Taminah Bakir, 61, yang terjaga daripada tidur selepas terdengar barang jatuh dari rumah mangsa pada kira-kira jam 5.20 pagi.

"Saya terus bergegas keluar rumah buat pemeriksaan dan tengok api sudah marak sebelum memanggil jiran-jiran yang lain untuk membantu memadam kebakaran.

"Kami cuba padamkan api dengan menggunakan paip getah dari air pili tetapi kami tak boleh berbuat apa-apa sebab api marak terlalu cepat," katanya.

Sebelum itu, media melaporkan seorang lelaki dan seorang wanita maut dalam kebakaran di rumah teres dua tingkat itu, awal pagi tadi.

 Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan.

Beliau berkata, kebakaran itu mengorbankan dua individu iaitu seorang wanita berusia 21 tahun dan seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga penyewa bilik di rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.28 pagi dan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah Toyota Hilux dengan kekuatan 13 anggota digegaskan ke lokasi.

"Setibanya di tempat kejadian, kebakaran didapati melibatkan ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan dengan kemusnahan dianggar 40 peratus.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melaksanakan pemadaman dan melakukan operasi pencarian sebelum menemukan kedua-dua mangsa berusia 21 dan 22 tahun di tingkat atas dalam keadaan tidak sedarkan diri serta dipercayai telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam perkembangan terbaharu, Saifulbahri berkata mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 8.08 pagi. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Radin Ramlan Radin Taha dalam kenyataan berasingan berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk dibedah siasat.

"Difahamkan hubungan si mati berdua adalah kenalan di tempat kerja dan kita telah memanggil suami mangsa untuk diambil keterangan (prosedur biasa).

"(Bagaimanapun), punca kebakaran serta kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Sumber: Sinar Harian, Bernama