PENDAKWAH selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31,dibebaskan sementara pada Jumaat selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan rayuannya untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu.
Finalis rancangan televsyen Da'i itu memakai baju lokap berwarna jingga dan berkepala botak dilihat meraupkan muka dan mengucapkan kesyukuran dengan keputusan tersebut .
Memetik Sinar Harian, Syed Shah Iqmal yang masih dalam keadaan bergari menuju ke arah isterinya, Hana Ismail, 40, yang gagal mengawal perasaan.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Syed Shah Iqmal untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu.
Semasa membaca keputusan sebulat suara, Azmi berkata, mahkamah mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan Syed Shah Iqmal dilepaskan dengan jaminan sehingga rayuannya diputuskan di mahkamah yang lebih tinggi.
“Alasan kami memberi pelepasan sementara ialah pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan sama ada di mahkamah sesyen ataupun mahkamah tinggi.
“Oleh itu, kami tidak nampak, wujudnya risiko ketidakhadiran pemohon di peringkat rayuan kelak,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Selain itu beliau berkata, tiada keterangan yang menunjukkan pemohon pernah lari atau menghilangkan diri daripada prosiding di kedua-dua mahkamah rendah.
Katanya, mahkamah juga mengambil kira hujahan pembelaan, bahawa itu merupakan kesalahan pertama pemohon.
Difahamkan, mahkamah membenarkan permohonan Syed Shah Iqmal selaku pemohon namun tertakluk kepada beberapa syarat.
“Pemohon dilepaskan sementara, atas jaminan dinaikkan kepada RM40,000 dengan dua penjamin dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
“Boleh mohon kepada mahkamah untuk mendapatkan pasport tersebut sekiranya mahu menunaikan haji atau umrah.
“Pemohon dikehendaki melaporkan diri di balai polis di Seksyen 6 Shah Alam, Selangor sekali setiap bulan mulai Mac, sehingga rayuan utama diputuskan,” katanya.
Beliau mengingatkan, sekiranya berlaku pelanggaran pada syarat yang dinyatakan, jaminan tersebut akan dibatalkan.
Hakim juga menasihati pemohon, supaya memenuhi syarat berkenaan sepenuhnya.
Katanya, jika syarat itu dilanggar atau tidak dipatuhi maka jaminan berkenaan akan dibatalkan.
Pada 23 Januari lalu, Syed Shah Iqmal baharu kembali ke Penjara Kajang selepas setahun empat bulan.
Sekadar info, Da'i Syed dan Hana bekahwin pada 3 Disember 2022 di Kuala Lumpur. Mereka dikurniakan dua cahaya mata yang kini berusia 18 bulan dan empat bulan.
Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)