TAHNIAH buat penyanyi Hafiz Suip kini kembali bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya, Fiona Saffiyya.
Akad nikah Hafiz dikongsikan menerusi penstriman langsung laman sosial Facebook miliknya.
Terdahulu, Hafiz masuk ke dewan bersama kedua-dua cahaya matanya, Muhammad Riyadh Zafri, 9, serta Muhammad Alkaf Zayne, 6.
Ia diikuti pengantin perempuan yang menggayakan sepersalinan kurung moden berona putih diiringi ibu dan adik-beradik ke pelamin.
Majlis akad nikah tertutup tersebut berlangsung pada Jumaat di sebuah dewan di Petrajaya, Kuching menyaksikan Hafiz dengan hanya sekali lafaz sah menjadi suami kepada Fiona Saffiyya.
Hafiz menyerahkan mas kahwin sebanyak RM120 kepada Fiona sebagai simbolik penyatuan mereka.
Terdahulu, pelantun lagu Awan Nano itu berpisah dengan Nureffy Jasreel Abdullah pada 29 Mei 2025 selepas berkahwin selama sembilan tahun.