KEHIDUPAN rumah tangga pelakon ini nampaknya semakin lengkap dan bermakna. Selepas hampir setahun melayari bahtera perkahwinan, rezeki zuriat pula menyusul, sekali gus menambah warna bahagia dalam fasa baharu hidupnya.
Tahniah diucapkan buat pelakon versatil, Qi Razali yang kini bergelar bapa apabila selamat menimang cahaya mata sulung.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia tersebut bersama isterinya, Wardah Hayati menerusi media sosial masing-masing.
Wardah menerusi Instagram Story memaklumkan dirinya selamat melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Anggun Sumayyah pada 23 Januari lalu.
Qi, atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, turut memuat naik perkongsian sama di Instagram Story miliknya pada Rabu. Momen menyentuh hati itu memperlihatkan pelakon filem Babah berkenaan mendukung puteri sulungnya dengan penuh kasih sayang.
“Assalamualaikum princess babah,” tulisnya ringkas namun cukup bermakna.
Untuk rekod, Qi dan Wardah mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis pernikahan tertutup yang berlangsung di Gopeng, Perak pada 25 Mei tahun lalu.
Sejak bergelar suami, Qi dilihat lebih selesa menjalani kehidupan yang sederhana dan menjaga privasi keluarga, selari dengan prinsip dirinya yang tidak gemar terlalu berkongsi hal peribadi.
Kini, kehadiran Anggun Sumayyah pastinya menjadi pelengkap perjalanan hidupnya, menyeimbangkan dunia seni, cinta dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Semoga kehadiran puteri sulung ini terus menyemarakkan kebahagiaan rumah tangga mereka serta membesar dengan sihat, menjadi anak solehah dan sentiasa dalam lindungan rahmat-Nya.