BULAN Ramadan kali ini, pengalaman berbuka puasa di ibu kota dijanjikan lebih istimewa dengan kehadiran bufet 'Warisan Cita Rasa Asli 2 Benua' anjuran RISDA Security and Services Sdn Bhd (RSS) bersama Rumah Makan Patin Pasu.
Bufet itu membawa kelainan kepada pengunjung dengan gabungan masakan tradisional Melayu dan sajian barat, sesuai buat mereka yang ingin menikmati hidangan berbuka dalam suasana eksklusif dan elegan.
Ketua Pegawai Eksekutif RSS, Putera Sidek, menjelaskan, penganjuran bufet di Dewan Menara Kumpulan RISDA bermula 23 Februari lalu dan berlangsung sehingga 18 Mac depan adalah langkah strategik syarikat untuk memperluas cabang perniagaan ke bidang katering dan hospitaliti.
"Walaupun memiliki pengalaman lebih 10 tahun dalam pengurusan acara, RSS kali ini mengambil langkah pertama menganjurkan bufet Ramadan sendiri.
"bagi pemilihan Rumah Makan Patin Pasu sebagai rakan kerjasama, ia dibuat berasaskan reputasi mereka dalam menyediakan masakan Melayu asli yang menitikberatkan rasa tradisi serta kualiti hidangan," ujar Putera Sidek.
Sementara itu, Pengasas Bersama Rumah Makan Patin Pasu, Ridzuan Anuar, berkongsi bahawa bufet ini menampilkan sebanyak 80 jenis lauk-pauk setiap hari, dibahagikan kepada tiga set menu bergilir iaitu Set A, Set B dan Set C.
"Konsep menu ini memastikan pengunjung dapat menikmati variasi hidangan yang berbeza sepanjang Ramadan tanpa rasa bosan.
"Antara tarikan utama untuk pencinta masakan Melayu adalah hidangan seperti daging salai, itik salai dan keli salai yang dimasak mengikut resipi tradisi turun-temurun. Turut tersedia masakan kampung lagi seperi patin, pais dan sebagainya.
"Bagi penggemar sajian barat pula, bufet ini turut menawarkan kambing bakar, lamb stew, lasagna serta pelbagai jenis pasta dan masakan Itali lain.
"Kesemua hidangan dikendalikan oleh cef bertauliah untuk memastikan standard rasa dan kualiti terjaga, menjadikan pengalaman berbuka bukan sekadar makan tetapi satu pengalaman rasa yang lengkap," ujarnya.
Cita rasa 2 benua
Berkongsi lanjut mengenai dewan RISDA yang terletak di tengah ibu kota, Putera Sidek memberitahu, lokasi berkenaan mampu menampung sehingga 500 tetamu pada satu-satu masa.
Malah ia turut dilengkapi dengan surau yang selesa dan parkir percuma untuk kemudahan pengunjung.
"Suasana berbuka juga lebih meriah dengan persembahan live band, menambahkan lagi aura santai dan eksklusif sepanjang majlis berlangsung.
"Harga bufet ditawarkan pada kadar RM139 bagi dewasa, untuk early bird bermula RM110. Sementara bagi kanak-kanak bermula RM88.
"Diskaun berkumpulan juga disediakan dengan potongan 10 peratus untuk tempahan 30 hingga 40 orang dan 15 peratus bagi tempahan melebihi 41 orang," ujarnya.
Dengan gabungan hidangan Melayu asli dan sajian Barat, bufet Warisan Cita Rasa Asli 2 Benua ini memang pilihan ideal untuk berbuka puasa bersama keluarga, rakan sekerja atau teman-teman sambil menikmati suasana eksklusif yang jarang ditemui di bufet biasa.