DALAM dunia serba pantas hari ini, kejayaan sering diukur melalui apa yang dimiliki, rumah besar, kenderaan mewah atau gaya hidup penuh kemewahan.
Namun bagi penyanyi terkenal, Shila Amzah, definisi kebahagiaan kini berubah arah. Bukan lagi tentang memiliki lebih banyak, sebaliknya mencari ketenangan melalui kehidupan yang lebih sederhana dan bebas daripada beban kewangan.
Menerusi perkongsian jujur di Threads, penyanyi berusia 36 tahun itu membuka cerita mengenai azam baharunya untuk melangsaikan segala komitmen hutang, termasuk kediaman dan kenderaan, dalam usaha membina kehidupan yang lebih tenang serta teratur.
Menurut pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah itu, fasa kehidupannya kini lebih tertumpu kepada kestabilan emosi dan kewangan berbanding gaya hidup materialistik.
“Saya betul-betul nak bebas daripada hutang. Nak habiskan bayar komitmen rumah dan kereta secepat mungkin,” kongsinya.
Tidak sekadar merancang dari sudut kewangan, pelantun lagu Patah Seribu itu juga mahu melakukan perubahan besar terhadap gaya hidup hariannya, termasuk mengurangkan barangan yang tidak lagi digunakan.
Shila mengakui sebelum ini pernah melakukan proses ‘declutter’, namun kali ini dirinya mahu lebih konsisten.
Baginya, sesuatu barangan yang tidak disentuh dalam tempoh dua hingga tiga bulan sebenarnya sudah tidak lagi diperlukan.
Langkah tersebut bukan sekadar untuk mengemas ruang fizikal, tetapi juga sebagai simbol membersihkan kehidupan daripada perkara yang tidak lagi memberi nilai.
Dalam masa sama, Shila turut membuat pengakuan terbuka mengenai tabiat perbelanjaan lampau yang disifatkan agak impulsif, terutama selepas mula menguruskan kewangan sendiri.
Katanya, kebebasan kewangan yang dimiliki sebelum ini membuatkan dia mudah membuat langganan dan pembelian tanpa perancangan jelas.
“Ada banyak langganan yang sebenarnya tiada hala tuju dan tak beri manfaat. Bila fikir semula, memang rasa membazir,” ujarnya jujur.
Tambah ibu kepada sepasang cahaya mata itu lagi, dia tidak berbangga dengan sikap tersebut, namun memilih untuk melihatnya sebagai proses pembelajaran hidup.
Kesedaran itu mendorong dirinya mengambil langkah besar untuk berubah dan lebih berdisiplin dalam mengurus kewangan.
Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati ramai apabila ruangan komen dibanjiri reaksi netizen yang turut berkongsi pengalaman masing-masing tentang perjalanan menuju kehidupan bebas hutang.
Ada yang mengakui keputusan menjadi ‘debt free’ memberikan ketenangan tidur dan ketenteraman jiwa yang sukar digambarkan.
Seorang pengguna berkongsi bahawa dia dan pasangan kini hidup lebih tenang selepas melangsaikan semua hutang, malah berasa lebih bersedia menghadapi masa depan tanpa membebankan insan tersayang.
Tidak kurang juga yang berkongsi nasihat keluarga bahawa kekayaan sebenar bukan diukur melalui jumlah harta, tetapi rasa cukup dan damai dalam kehidupan harian.
Malah, ramai menganggap kebebasan kewangan mampu memberikan keyakinan diri yang berbeza, satu perasaan bebas daripada tekanan sosial dan tuntutan gaya hidup moden.
Ada juga yang menjadikan impian bebas hutang sebagai matlamat jangka panjang, dengan harapan dapat memberi fokus kepada keluarga, simpanan pendidikan anak-anak serta pengalaman hidup seperti melancong tanpa tekanan komitmen kewangan berlebihan.
Perkongsian Shila secara tidak langsung membuka perbincangan lebih luas mengenai realiti kehidupan masa kini, apabila semakin ramai mula menilai semula hubungan mereka dengan wang, harta dan kebahagiaan.