BUKAN semua hal yang kita rasa perlu diluah, wajar dikongsi kepada umum. Kadangkala, diam itu lebih menjaga, bukan sahaja maruah diri, tetapi juga orang di sekeliling kita.
Itulah yang cuba disampaikan oleh Erra Fazira, yang melihat trend mendedahkan hal peribadi di media sosial kini semakin membimbangkan.
Baginya, masyarakat perlu lebih peka agar tidak menjadi ‘enabler’ atau penyumbang kepada budaya yang secara tidak sedar menormalisasikan pendedahan aib.
Pelakon berusia 52 tahun itu mengakui, sejak dahulu lagi dia cukup berhati-hati dalam berkongsi kehidupan peribadi, khususnya hal rumah tangga.
Bukan kerana terlalu berahsia, tetapi lebih kepada menjaga ruang privasi agar tidak membuka pintu kepada salah faham dan spekulasi.
“Setiap kita melalui fasa kematangan. Tapi bagi saya, dari dulu lagi saya elakkan memuat naik perkara yang boleh menimbulkan tanda tanya,” kongsinya.
Menurut Erra, dia memahami keperluan sesetengah individu untuk meluahkan perasaan di media sosial.
Namun, dalam keghairahan mencari ruang ekspresi, ramai terlupa bahawa setiap ‘like’, ‘share’ atau komen juga boleh mencetuskan pelbagai tafsiran.
“Kadang-kadang kita rasa sekadar berkongsi, tapi orang luar melihat dari sudut berbeza.
"Sebab itu saya pilih untuk tidak berkongsi perkara yang tidak menyeronokkan. Dunia di luar sana sudah cukup dengan perkara toksik,” katanya lagi, memberi peringatan secara halus.
Kenyataan itu bukan sekadar pandangan kosong, tetapi lahir daripada pengalaman panjang beliau yang menyaksikan sendiri evolusi dunia maya, bermula dari era MySpace sehinggalah ke platform popular hari ini seperti Instagram, X dan Threads.
Apa yang membimbangkan, menurutnya, ialah keterbukaan tanpa batas yang semakin menjadi norma. Apabila terlalu banyak perkara peribadi dikongsi secara terbuka, ia bukan sahaja menghakis nilai malu, malah boleh memberi kesan kepada pembentukan sahsiah generasi muda.
“Dalam Islam sendiri, sifat malu itu penting. Bila kita mula biasa dengan budaya dedah aib, lama-lama ia jadi normal. Itu yang kita tak mahu,” tegasnya.
Lebih daripada itu, Erra mengingatkan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam menentukan arah budaya media sosial hari ini.
Jika tiada permintaan daripada audiens, maka tidak akan wujud dorongan untuk berkongsi perkara yang sepatutnya kekal peribadi.
“Jangan jadi ‘enabler’. Kita semua ada peranan untuk saling mengingatkan,” ujarnya penuh makna.
Sejak mendirikan rumah tangga bersama Ezwan Ismail pada Disember tahun lalu, kehidupan peribadinya terus menjadi perhatian. Namun, Erra tetap konsisten dengan prinsipnya, berkongsi sekadar yang perlu, menyimpan apa yang wajar.
Dalam dunia yang semakin terbuka, mungkin sudah tiba masanya untuk kita bertanya kepada diri sendiri, adakah semua perkara perlu dikongsi?
Atau sebenarnya, kita hanya perlukan lebih kesedaran untuk menjaga apa yang berharga daripada menjadi tatapan umum.
Seperti kata Era,"Bukan semua yang kita rasa, perlu dunia tahu.”
Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis Riang Ria Raya ACGAS 2026 baru-baru ini.
Selain Era, Datuk Rosyam Nor turut dilantik sebagai Duta Jenama ACGAS 2026 sejakFebruari lalu bagi mempromosikan silinder gas komposit moden keluaran syarikat berkenaan.