'Kahwin ni start game sebenar, bukan setakat I love you' - Reen Rahim buka cerita realiti perkahwinan, penampilan berhijab raih perhatian

Iklan

PERKONGSIAN ikhlas daripada pelakon jelita, Reen Rahim di media sosial baru-baru ini benar-benar menjentik tangkai hati netizen, terutamanya bagi mereka yang sudah mendirikan rumah tangga.

Mana tidaknya, coretan santai tapi penuh mendalam itu menyentuh realiti sebenar alam perkahwinan yang jarang-jarang dikongsikan secara terbuka.

Iklan
Iklan

Kata Reen atau nama sebenarnya, Noreen Ashikin Abdul Rahim, sebelum melangkah ke fasa perkahwinan lagi, dia sudah mengingatkan suaminya tentang peri pentingnya mempunyai mentaliti yang kuat demi berdepan dengan segala ujian masa depan.

Baginya, fasa setelah bernikah bukanlah penutup sebuah cerita cinta yang indah semata-mata, sebaliknya ia merupakan permulaan kepada sebuah perjuangan yang sebenar dalam melayari bahtera hidup.

Iklan

Apabila impian bergelar suami isteri sudah tercapai, barulah masing-masing akan berhadapan dengan realiti kehidupan yang penuh dengan kepenatan, tekanan, komitmen yang tinggi, malah adakalanya diiringi dengan air mata.

Iklan

"Dulu sebelum kahwin aku pernah cakap dekat laki aku, kita tak boleh miskin mindset. Masalah kewangan memang datang, tapi jangan sampai kalah.

"Dan kahwin ni bukan ending, kahwin ni start game sebenar. Sebab bila dah kahwin, baru kau nampak real life. Penat, pressure, commitment, air mata.

"Kadang duit tinggal sikit tapi mimpi besar gila," luahnya mengimbas kembali pesanan yang pernah dititipkan kepada teman hidupnya itu.

Pelakon itu turut mengakui bahawa kehidupan selepas berkahwin membuktikan ikatan suci ini bukan sekadar ungkapan romantis sahaja, sebaliknya ia menuntut kesetiaan dan pengorbanan tanpa belah bahagi daripada kedua-dua belah pihak.

"Kahwin bukan setakat 'I love you baby'. Kahwin ni teamwork. Aku jatuh, kau angkat. Kau penat, aku cover.

"Dua-dua tengah breakdown pun still fikir macam mana nak survive sama-sama," kongsinya lagi dengan penuh emosi tentang konsep kerjasama dalam rumah tangga.

Rumah tangga ibarat medan perang

Malah, dia turut menambah bahawa ujian cinta yang paling perit bukanlah ketika masing-masing sedang bertengkar, tetapi saat kedua-duanya sedang kepenatan berjuang demi kelangsungan hidup namun tetap cuba melayani pasangan dengan penuh kelembutan.

Menyifatkan alam rumah tangga sebagai satu medan 'perang' yang besar, anak kelahiran Selangor itu menjelaskan bahawa perjuangan itu sebenarnya melibatkan pertembungan ego sendiri, trauma masa lalu, sikap terlalu banyak berfikir, serta ketakutan terhadap masalah kewangan.

Dia juga percaya, sekiranya suami isteri sentiasa meletakkan kebergantungan yang tinggi kepada Yang Maha Esa, sesebuah rumah tangga itu akan sentiasa dilimpahi kebahagiaan.

"Masya-ALLAH, kahwin ni sebenarnya perang. Perang lawan ego, lawan trauma, lawan overthinking, lawan takut tak cukup duit, lawan rasa nak give up.

"Tapi kalau dua-dua masih pegang ALLAH kuat-kuat, insya-ALLAH, rumah tu tak kaya hari ni pun, dia tetap kaya dengan harapan," jelas Reen.

Menutup perkongsian yang cukup memberi inspirasi itu, isteri kesayangan Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin itu sempat menitipkan doa yang cukup mendalam agar perkahwinannya dan suami tidak sekadar bertahan demi kelangsungan hidup semata-mata, sebaliknya dapat terus matang, subur, dan berkembang bersama-sama dalam mengharungi hari-hari mendatang.

"Ya ALLAH, jangan bagi kami jadi pasangan yang hanya survive. Tapi jadikan kami pasangan yang grow sama-sama.

"Murahkan rezeki kami, tenangkan hati kami, dan jangan bagi kami lupa why we started," tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang tersentuh dengan perkongsian penerima Anugerah Perniagaan Cemerlang Tahunan 2025 itu.

Rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dan menyukai pengisian positif yang dibawa oleh pelakon berkenaan.

"Alhamdulillah, bestnya pagi-pagi baca sharing sebegini. Rasa hidup," tulis salah seorang pengikutnya."Aamiin.. Ya Allah... Cantik indah ayat-ayat Reen. Semoga kita semua di dalam reda, rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T," tambah seorang lagi netizen yang mendoakan kesejahteraan mereka.

Bukan itu sahaja, ramai yang terpegun melihat penampilan terbaharu pelakon tersebut yang dilihat memakai hijab. Perubahan imej yang lebih sopan itu menerima pujian melangit daripada peminat yang rata-ratanya mendoakan agar dia terus kekal dengan imej bertudung tersebut.

"Ya ALLAH Reen dah tutup aurat. Masya-ALLAH Tabarakallah.. semoga terus istiqamah dan diberikan kebahagiaan dunia akhirat," puji peminatnya penuh teruja.

Malah, ada juga yang sempat meluahkan rasa rindu untuk melihat semula lakonannya di kaca televisyen dengan penampilan terbaharu ini.

"Terbaik Reen.. suka tengok awak yang sekarang.. moga terus istiqamah.. dan bahagia hingga ke jannah. Rindu nak tengok awak berlakon," coret netizen di ruangan komen.

Sentimen tersebut turut dikongsi oleh peminat lain yang terpikat dengan keayuan wajahnya.

"Tahniah Reen sebab berhijab... cantik.. nampak lebih sopan. Semoga ada artis-artis yang masih berseksi-seksi terbuka hati mengikut berhijab sama. Masya-ALLAH cantik," puji netizen lagi.

Di samping itu, doa-doa murni agar pelakon bertubuh genit ini kekal konsisten dalam memperbaiki diri terus membanjiri hantaran tersebut.

"Aamiin ya rabbal alamin. Semoga sentiasa dalam limpah rahmat ALLAH dan barakah-NYA. Kekal berhijab," titip pengikutnya.

"Tahniah Reen Rahim. Semoga tetap istiqamah dalam perjuangan menutup aurat dengan sempurna. Aamiin," tulis seorang lagi peminat yang tumpang gembira melihat penghijrahan tersebut.