'Ayah percaya ke mu...' Demi amanah terakhir bapa, Rosnani sanggup ketepi jodoh jaga ibu uzur & adik OKU sejak 10 tahun lalu

Iklan

BAGI seorang wanita, impian melihat diri menyarung busana pengantin dan membina keluarga sendiri pastinya menjadi salah satu fasa kehidupan yang didambakan.

Namun, berbeza dengan Rosnani Musa, 50, garis takdirnya tertulis indah dengan cara yang berbeza.

Iklan
Iklan

Kisah pengorbanan wanita ini bukan sekadar tentang air mata, tetapi tentang erti sebuah ketaatan yang tiada sempadan demi menggalas amanah keramat seorang ayah.

Kata-kata terakhir Allahyarham bapanya, Musa Mohammad, yang pergi dijemput Ilahi akibat kemalangan jalan raya pada Jun 2016, sentiasa bergema di jiwanya:

Iklan

"Ros... Ayah tak ada nanti mu susah. Tak ada orang lain dah serupa ayah yang ayah nampak boleh jaga adik dan ibu mu.

Iklan

"Ayah rasa mu pun tak sempat nak nikah kawin... Habis begitu saja mu. Tapi tak apalah, sebab ayah percaya ke mu."ungkap si ayah.

Amanah berat itulah yang menjadi azimat buat anak sulung daripada lima beradik ini untuk mengetepikan masa depan sendiri. Rosnani memilih untuk tidak berkahwin demi menumpukan sepenuh raga menjaga adik kandungnya, Mohamad Saffari Musa, 42, yang merupakan orang kurang upaya (OKU), serta ibu tercinta, Robiah Mat Daud, 67, yang semakin uzur.

Mengimbau memori lalu, Rosnani sebenarnya seorang wanita berkerjaya yang aktif di sebuah pejabat kontraktor. Detik sukar bermula apabila kesihatan ibunya yang menderita sakit lutut sejak usia 30-an semakin merosot, membuatkan tugas menjaga Mohamad Saffari, yang mengalami masalah mental akibat demam panas kronik waktu kecil menjadi semakin mencabar.

Kerana tidak sampai hati melihat ibunya kepayahan, Rosnani sering bergegas pulang separuh hari dengan izin majikan. Malah, sekembalinya dari pejabat, dia perlu segera menyambung tugas menguruskan adiknya yang adakalanya tidak terurus. Akhirnya, demi cinta kepada keluarga, dia nekad berhenti kerja sepenuhnya.

Ujian hidupnya tidak terhenti di situ. Rosnani yang sendiri mengalami masalah pendengaran, pernah diuji apabila tidak boleh berjalan selama lapan bulan akibat ditolak oleh adiknya ketika kerenah lelaki itu tidak menentu.

"Jujur memang saya terlalu sedih pada mulanya kerana saya seorang yang ada kerjaya, tapi tiba-tiba keadaan berubah sepenuhnya. Memang saya rasa sedih sangat. Sabar ini bukan senang sebab benda ini terlalu payah, tetapi Tuhan beri saya kudrat untuk harunginya. Syukurlah, kesukaran ini telah saya tanggung selama 10 tahun sejak kehilangan ayah," luahnya yang turut pernah kehilangan seorang lagi adik empat tahun lalu.

Menjaga seorang adik OKU dewasa yang enggan memakai lampin pakai buang menuntut kesabaran yang luar biasa. Jika terlepas pandang, sisa kotoran akan disapu ke dinding rumah, malah Rosnani jarang dapat tidur lena malam hari demi memastikan rumah mereka di Batu Buruk tidak berlinang dengan air kencing.

Walaupun memikul bebanan yang sarat, wanita cekal ini tidak pernah mengeluh, malah bersyukur kerana rezeki ALLAH SWT sentiasa hadir melalui ihsan masyarakat sekeliling. Di saat dia kehabisan wang, pasti ada insan prihatin yang belanja makan, menyumbang beras, atau menghulurkan wang tunai.

Saat ini, kelangsungan hidup mereka bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 untuk kos penjagaan, RM300 bantuan OKU untuk adiknya, dan RM300 untuk ibunya, selain Bantuan Sara Hidup daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM2,000 setahun.

Bagaimanapun, keperluan harian seperti lampin pakai buang untuk ibunya, kerusi roda, serta sebuah kipas angin bagi memberikan sedikit keselesaan di rumah amatlah diperlukan ketika ini.

Sesiapa yang terkesan dengan ketabahan jiwa Rosnani dan ingin berkongsi rezeki bagi meringankan bebanan keluarga ini, sumbangan ikhlas boleh disalurkan terus ke akaun Public Bank (6495418323) atas nama Rosnani Musa. Kemuliaan hati anda pastinya menjadi sinar baharu buat syurga kecil mereka.

Sumber: Sinar  Harian