PUTERI sulung Raja Thailand, Princess Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, dilaporkan mangkat pada usia 47 tahun selepas menghabiskan lebih tiga tahun dalam keadaan koma akibat masalah jantung.
Menurut kenyataan rasmi Istana Diraja Thailand, keadaan kesihatan puteri berkenaan merosot sebelum menghembuskan nafas terakhir susulan jangkitan dalam abdomen, radang usus, tekanan darah rendah, gangguan degupan jantung dan masalah pembekuan darah.
Baginda kemudiannya diterbangkan dengan helikopter ke Bangkok untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dilahirkan pada 7 Disember 1978, Puteri Bajrakitiyabha merupakan anak sulung kepada King Maha Vajiralongkorn dan bekas permaisuri, Princess Soamsawali.
Sepanjang hayatnya, baginda dikenali sebagai seorang tokoh yang aktif dalam bidang perundangan, diplomasi dan kebajikan.
Puteri Bajrakitiyabha memegang ijazah sarjana serta doktor falsafah dalam bidang undang-undang dari Cornell University, Amerika Syarikat sebelum berkhidmat sebagai peguam di Pejabat Peguam Negara Thailand.
Selain itu, Puteri Bajrakitiyabha menubuhkan sebuah badan kebajikan yang memperjuangkan hak banduan wanita, khususnya mereka yang sedang hamil ketika menjalani hukuman penjara.
Pada 2017, baginda dilantik sebagai Duta Muhibah bagi Kedaulatan Undang-Undang di Asia Tenggara oleh United Nations Commission on Crime Prevention and Criminal Justice.
Empat tahun kemudian, baginda menyertai angkatan tentera Thailand dan dianugerahkan pangkat jeneral serta berkhidmat sebagai ketua staf di Komando Keselamatan Diraja.
Di Thailand, Puteri Bajrakitiyabha bukan sahaja dikenang sebagai anggota keluarga diraja, malah sebagai tokoh yang banyak menyumbang kepada usaha memperkasakan wanita dan sistem keadilan sosial.
Istana Diraja Thailand memaklumkan upacara pengebumian diraja akan diadakan, manakala kerajaan negara itu dijangka mengisytiharkan tempoh berkabung nasional.
Sumber: ABC News