IMPIAN setiap pasangan pengantin pastinya mahu bergelar raja sehari dalam suasana yang cukup gilang-gemilang.
Memahami hasrat tersebut, pemilik premis acara terkemuka Istana Sakura, Irni Rosleh dan suaminya, Suhaimi Muhamad, tampil melangkah setapak lagi dengan melancarkan dewan perkahwinan keempat mereka yang terletak strategik di tengah ibu kota.
Majlis pelancaran dewan terbaharu yang terletak di Plaza Sungai Mas, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan ruang acara yang serba eksklusif, malah menjadi bukti komitmen pasangan suami isteri ini dalam memberikan perkhidmatan perkahwinan yang terbaik buat bakal pengantin.
Menariknya, lokasi terbaharu itu menempatkan dua dewan utama yang mempunyai keunikan tersendiri iaitu Istana Safwa Hall dan Istana Sakura Hall.
Setiap dewan direka khas untuk memenuhi cita rasa pelanggan yang inginkan sebuah majlis yang tidak dilupakan.
Bagi pasangan yang mementingkan kemewahan visual, Istana Sakura Hall yang terletak di aras dua menawarkan kelainan tersendiri berbanding dewan perkahwinan sedia ada di sekitar Kuala Lumpur.
Dengan siling yang tinggi serta limpahan cahaya lampu kristal mewah, dewan ini turut dilengkapi dengan skrin LED gergasi sebagai latar belakang pelamin bagi menggantikan konsep hiasan statik biasa.
"Dewan di tingkat bawah itu memang eksklusif dan susun aturnya juga sangat mewah. Kita banyak gunakan skrin LED besar untuk pelamin, jadi hiasan itu tidak lagi nampak ringkas atau biasa seperti dewan lain.
"Pelanggan boleh pilih tema mengikut kreativiti sendiri. Kalau mereka mahukan tema perkahwinan musim sejuk dalam hutan atau bertukar menjadi musim bunga, kita boleh pasangkan mengikut permintaan mereka," kata Irni membuka bicara.
Selain keindahan visual dan meja santapan berkonsepkan long table yang elegan, Istana Sakura amat mementingkan keselesaan bajet para pelanggan.
Menyediakan pelbagai variasi pakej mengikut kapasiti jemputan bermula dari 100 hingga 1000 pax, harga yang ditawarkan adalah sangat berpatutan dan fleksibel.
Pakej lengkap yang ditawarkan bermula dari harga serendah RM4,000 untuk 100 pax, manakala bagi pakej premium yang serba eksklusif dan menyeluruh, harganya mencecah RM29,000 untuk 500 pax.
Bagi pakej Istana Safwa pula, promosi istimewa seperti pakej ramah turut disediakan dengan harga sekitar RM15,900.
"Pakej kami memang berasaskan konsep all-in. Maksudnya pelanggan tidak perlu pusing kepala untuk mencari vendor luar bagi urusan katering, sistem PA, juruacara, jurusolek sehinggalah kepada jurugambar.
"Semuanya sudah termasuk di dalam satu harga. Malah kalau pelanggan mahu kami sediakan cenderahati untuk tetamu pun kami boleh uruskan," jelas Suhaimi mengenai keistimewaan pakej yang ditawarkan.
Sesuatu yang meyakinkan mengenai Istana Sakura adalah keupayaan mereka menguruskan segalanya secara in-house.
Dengan kekuatan pasukan pengurusan dan operasi yang mencecah 50 orang kakitangan bagi kesemua empat dewan, mereka tidak bergantung kepada vendor luar.
Dari persiapan busana butik sendiri, khidmat jahitan, sehinggalah menu katering ssrta andaman, semuanya disediakan oleh pasukan dalaman mereka sendiri bagi menjamin kualiti.
Bermula daripada sebuah perniagaan butik pengantin dan perkhidmatan solekan pada tahun 2012, pasangan ini sudah masak dengan sepak terjang industri perkahwinan sepanjang berbelas tahun penglibatan mereka.
Menyentuh mengenai persaingan sengit dalam perniagaan penyewaan dewan ketika ini, mereka menganggap pengalaman lama sebagai aset terpenting untuk terus kekal relevan.
Bagi mereka, kunci utama yang dicari oleh pelanggan masa kini adalah kualiti makanan dan faktor kepercayaan.
Memandangkan isu penipuan pakej perkahwinan sering kali tular di media sosial, Istana Sakura mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat bagi mengelakkan sebarang masalah.
"Setiap kali majlis berlangsung, kami akan meminta wakil daripada pihak pelanggan untuk memeriksa sendiri makanan yang dihidangkan, sama ada cukup atau tidak.
Mereka boleh ambil video, gambar dan rasa sendiri makanan tersebut. Kita telus dan tidak mahu berselindung kerana kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami," ujar Irni lagi.
Situasi majlis sebenar
Malah bagi membina kepercayaan, sesi ujian makanan atau food test adalah perkara wajib yang perlu dilalui oleh setiap pelanggan sebelum tibanya hari bahagia mereka.
Uniknya, sesi ini tidak dilakukan secara berasingan dengan kuantiti yang kecil, sebaliknya pelanggan akan dijemput hadir melihat sendiri situasi majlis sebenar yang sedang berlangsung pada setiap hujung minggu.
Cara tersebut membolehkan bakal pengantin merasai hidangan dan melihat gerak kerja pasukan Istana Sakura secara realiti.
Menyentuh mengenai nama 'Istana Sakura' dan 'Istana Safwa', di sebalik nama yang indah itu rupa-rupanya tersimpan simbolik cinta keluarga mereka.
Perkataan 'Istana' dipilih sebagai lambang kepada gelaran Raja Sehari bagi pasangan pengantin Melayu, manakala huruf 'I' merujuk kepada nama Irni dan 'S' mewakili nama suaminya, Suhaimi. Nama Sakura pula diilhamkan daripada nama anak-anak mereka.
Meskipun pembukaan dewan keempat ini baru sahaja dirasmikan, sambutan yang diterima sangat luar biasa.
Ketika dewan ini masih dalam proses pembinaan lagi, tempahan daripada pelanggan sudah mula diterima dan kini jadual tempahan mereka sudah pun terisi sehingga ke hujung tahun.
Sebab itulah, buat masa ini pasangan ini mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada pasaran di sekitar Kuala Lumpur terlebih dahulu bagi memastikan mutu perkhidmatan tidak terjejas sebelum merancang untuk melebarkan sayap ke luar kota pada masa hadapan.
Sasaran mereka jelas, iaitu mahu melihat dewan perkahwinan mereka sentiasa dipenuhi dengan senyuman bahagia pasangan pengantin pada setiap minggu.