USIA selalunya dijadikan alasan untuk kita berhenti mengejar impian, namun bagi permata seni tanah air, Datuk Fauziah Nawi, angka 73 tahun hanyalah sekadar nombor.
Beliau membuktikan bahawa semangat menuntut ilmu tidak pernah ada titik noktahnya apabila memilih untuk mendaftarkan diri sebagai pelajar peringkat Sarjana (Master) dalam bidang seni di Universiti Sains Malaysia (USM).
Kisah inspirasi ini mula tular selepas beliau memuat naik sekeping foto memegang kad pelajar di aplikasi Threads, sekali gus mencuri perhatian dan membuka mata ramai pihak terutamanya generasi muda.
Bagi Fauziah, keputusan besar ini bukan sekadar untuk kepuasan diri, sebaliknya membawa sebuah nawaitu yang cukup murni demi insan tersayang yang telah tiada.
Keputusannya untuk kembali bergelar mahasiswa adalah bagi menunaikan hasrat dan menggembirakan arwah bapanya, Allahyarham Tuan Haji Nawi Mukri.
Malah, apabila diajukan soalan oleh netizen sama ada beliau mempunyai perancangan untuk melangkah lebih jauh ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) selepas ini, anak seni yang mesra disapa Ibu ini menjawab dengan tenang dan fokus untuk menyelesaikan misi pertamanya dahulu.
"Selesaikan Master dulu,” kongsinya ringkas namun penuh bermakna.
Melihat kecekalan figura hebat ini, ruangan komen Threads beliau dihujani dengan pelbagai reaksi positif, kata-kata semangat, dan pujian daripada netizen yang rata-ratanya kagum dengan kekuatan mental dan fizikal beliau.
Malah, pihak perpustakaan USM sendiri turut tampil menawarkan bantuan rujukan sepanjang tempoh pengajian beliau di sana.
Menyuntik inpsirasi
Keberanian Fauziah memulakan langkah akademik di usia senja ternyata menyuntik inspirasi mendalam kepada orang ramai, sehingga ada yang kembali memasang impian untuk menyambung pelajaran yang tertangguh sebelum ini.
“Kalau orang hebat seperti Hajah Fauziah Nawi boleh sambung belajar, tak sepatutnya orang muda berputus asa untuk sambung belajar,” tulis salah seorang netizen.
“Siapa yang ada hasrat nak sambung belajar tapi rasa dah tua, tengok Puan Fauziah Nawi masih kuat untuk sambung Master ya? Hebat. Alhamdulillah, satu inspirasi!” puji seorang lagi pengikutnya.
Apabila ditanya mengenai rahsia kekuatannya, Fauziah sekali lagi menegaskan bahawa arwah bapanya adalah pendorong utama di sebalik fasa baharu kehidupannya ini dengan membalas,"Saya ada sebab. Untuk arwah bapak."
Kisah Datuk Fauziah Nawi ini bukan sahaja satu pencapaian peribadi yang membanggakan, tetapi juga satu pesanan buat kita semua bahawa selagi ada hayat dikandung badan, pintu untuk menimba ilmu dan memberikan yang terbaik demi orang tersayang sentiasa terbuka luas.
Semoga ibu terus diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sepanjang bergelar mahasiswazah USM!