Dah rancang nak kahwin? Diana Danielle buka cerita soal kekasih baharu – 'Dia memang boleh dibuat suami'

Iklan

SIAPA yang tidak kenal dengan pelakon jelita, Diana Danielle? Sentiasa tampil memukau di skrin televisyen, kebahagiaan yang terpancar pada wajahnya kebelakangan ini rupanya hadir daripada sekeping hati yang sedang berbunga indah.

Pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson itu rupa-rupanya sedang melalui fasa sangat manis bersama seorang jejaka yang dikenali sebagai Bern. Bukan sekadar peneman sunyi, kehadiran kekasih hatinya itu ternyata membawa perubahan yang sangat positif, malah menjadi tonggak utama yang sentiasa menyokong kuat perjalanan kerjaya seni dan kehidupan seharian ibu kepada sepasang cahaya mata ini.

Iklan
Iklan

Bertemu dengannya di majlis pelancaran kempen bagi platform telekesihatan berlesen, OVA baru-baru ini, Diana tidak lokek berkongsi rasa syukur kerana memiliki pasangan yang sangat mengambil berat. Baginya, kehadiran jejaka tersebut membuatkan segalanya lebih teratur dan tenang.

Iklan

Hubungan yang dibina juga bukanlah sekadar suka-suka, malah pelakon drama popular Gol & Gincu The Series ini sendiri mengakui mereka kini sedang melangkah ke fasa yang lebih serius dan mempunyai perancangan untuk membina masjid bersama-sama tidak lama lagi.

“Dia memang sangat supportive dan ambil berat selain memastikan semuanya teratur. Saya memang banyak minta pandangan dia tentang apa yang patut buat dan sebagainya.

Iklan

"Walaupun dia terlibat dengan kerja dan juga keputusan harian saya, tetapi dalam keadaan yang positif. In sya ALLAH, kita memang ke arah itu (kahwin). Cuma nak kata, bila tu saya betul-betul tak pasti lagi lah.

"Tapi, saya rasa dia memang seorang yang boleh dibuat seorang suami lah,” kongsi Diana dengan nada ceria.

Calon  terbaik

Walaupun kekasihnya sentiasa ada di sisi untuk membantu, Diana menjelaskan, lelaki berkenaan tidak pernah sesekali cuba mengawal atau mencampuri urusan peribadinya secara berlebihan. Sebaliknya, peranan yang dimainkan lebih kepada seorang penasihat yang bijak.

Setiap kali pelakon filem popular Magika tersebut buntu atau berdepan dengan jalan mati dalam membuat keputusan, pandangan daripada kekasihnya itu sering menjadi penyelamat yang memberikan jalan keluar terbaik.

Bagi Diana, dia sangat menghormati cara pemikiran matang yang dimiliki oleh Bern. Sifat ingin tahu yang tinggi dan pemikiran kritis yang ada pada pasangannya itu membuatkan dirinya berasa lebih selamat dan dihargai sebagai seorang wanita.

Kelebihan itulah yang membuatkan dia yakin bahawa jejaka ini adalah calon terbaik untuk memimpin hidupnya kelak.

“Bukanlah dia cuba nak masuk campur (hal kerja), tidak. Tapi saya hormat cara fikiran dia. Kalau saya nak buat satu keputusan, saya suka tanya pendapat dia sebab saya rasa pandangan dia bernas.

"Kadang-kadang bila saya buntu dan tak tahu apa yang perlu dibuat, saya akan tanya dia dan solusi yang diberikan selalunya memang baik.

“Dia seorang yang sangat curious dan critical-minded. Saya fikir satu, dia fikir sepuluh. Jadi dia membantu saya untuk fikir lebih mendalam dan lebih baik lagi lah.

"So, I like him as a thinker. I like him as someone yang memang akan jaga setiap benda dalam hidup saya,” ujarnya lagi sambil tersenyum bahagia.