DALAM kehidupan seorang ibu, ada satu fasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Saat anak yang selama ini dibesarkan penuh kasih sayang di depan mata mula melangkah ke alam dewasa dan membina kehidupan sendiri, hati seorang ibu pasti diuji dengan pelbagai rasa.
Perasaan itulah yang kini dirasai penyanyi dan pelakon popular, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana apabila melihat anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, semakin membesar dan matang.
Membesarkan anak seorang diri sejak kecil bukanlah perjalanan yang mudah. Namun, pengalaman itu secara tidak langsung membentuk satu ikatan yang sangat rapat antara ibu dan anak sehingga timbul rasa berat untuk melepaskan Rayyan menjalani kehidupan sendiri.
Di sebalik senyuman dan ketenangannya, Nana mengakui naluri seorang ibu sering membuatkan dirinya sukar untuk berjauhan dengan anak kesayangan.
"Kalau ikutkan nak je berkepit je dengan dia kan, dekat rumah nak je suruh dia duduk rumah di depan kita 24 jam, tapi dia pun ada kehidupan dia sendiri," kongsinya penuh keikhlasan.
Walaupun hati seorang ibu sentiasa mahu melindungi, Nana sedar Rayyan perlu diberikan ruang untuk belajar berdikari dan membina pengalaman hidupnya sendiri.
Demi masa depan anak tersayang, pelantun lagu Memori Berkasih itu memilih untuk mengetepikan sedikit rasa bimbang dan percaya bahawa proses membesar memerlukan kebebasan yang seimbang dengan bimbingan.
Mengulas mengenai pandangan orang sekeliling, Nana tidak menafikan ada kalanya sikapnya yang terlalu mengambil berat disalah tafsir oleh sesetengah pihak.
Bagaimanapun, bagi dirinya, segala perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan hanyalah usaha seorang ibu yang mahukan yang terbaik buat anak tunggalnya.
"Kalau tanya saya, rasa biasa je, tapi orang lain kata, ya. Malah ada kata macam annoying jugalah kot. Tetapi sebagai seorang ibu yang anak kita seorang, jadi kita nak yang terbaik untuk Rayyan.
"Saya memang ambil berat, terlebih take care pun ya jugak, kadang-kadang tak tahulah dia rimas ke tak, tapi saya rasa Rayyan rasa ok sebab kita buat yang terbaik untuk anak kita," ujarnya.
Penasihat bantu anak
Menariknya, meskipun begitu mengambil berat tentang kehidupan Rayyan, Nana memilih pendekatan yang cukup terbuka apabila melibatkan soal pendidikan dan hala tuju masa depan anaknya.
Dia tidak pernah memaksa Rayyan mengikut kehendaknya, sebaliknya lebih selesa memainkan peranan sebagai penasihat yang membantu anaknya membuat keputusan sendiri.
"Kita tawarkan semua pilihan, demikian juga dalam bab belajar. Kita bagi pilihan, 'ok Rayyan nak yang mana?'
"Kalau yang ini, Rayyan akan dapat ni, Rayyan akan kerja ni, so kita bagi dia guideline, dia pilih sendiri," jelasnya lagi.
Bagi anak kelahiran Negeri Sembilan itu, setiap anak mempunyai kelebihan dan kemampuan tersendiri. Sebab itu dia tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi atau memaksa Rayyan menjadi sesuatu yang di luar kemampuannya.
Sebaliknya, Nana lebih selesa memberi sokongan penuh terhadap apa sahaja bidang yang diminati dan sesuai dengan kebolehan sebenar anak tunggalnya itu.
Untuk rekod, Rayyan merupakan anak hasil perkahwinan Nana bersama Allahyarham Faizal Yusup. Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 sebelum berpisah pada tahun 2009.