DEMAM sukan pickleball nampaknya semakin menular dalam kalangan masyarakat kita hari ini, sehinggakan ke mana sahaja kaki melangkah, pasti ada sahaja kelab atau gelanggang baharu yang penuh dipenuhi peminat sukan tegar ini. Fenomena inilah yang cuba ditangkap menerusi naskhah terbaharu arahan Boy Koci terbitan Motio Studio berjudul Dink! I Love You yang kini sedang rancak ditayangkan di platform penstriman UTV. Menariknya, naskhah yang menggabungkan elemen romantik, persahabatan dan kesukanan itu mempertaruhkan gandingan mantap tiga pelakon popular iaitu Anna Jobling, Arfie Shah dan Aedy Ashraf sebagai teraju utama.
Bagi pendatang baharu, Arfie Shah, peluang yang datang ini ibarat bulan jatuh ke riba apabila hobi yang pada mulanya sekadar untuk mengisi masa lapang akhirnya membawa beliau ke set penggambaran profesional.
Membawakan watak Ghazali, seorang pelajar pintar yang langsung tidak mempunyai latar belakang dalam dunia sukan sebelum dipilih menjadi pasangan baharu Diba lakonan Anna Jobling, Arfie menyifatkan cabaran terbesar adalah untuk menonjolkan transisi watak tersebut. Menurutnya, dia sendiri tidak pernah menyangka sukan yang paling diminatinya itu akhirnya membuka pintu untuk melakonkan watak sebagai atlet di skrin televisyen.
“Sejujurnya saya memang tak pernah sangka sukan yang saya paling minat, iaitu pickleball, akhirnya membuka pintu kepada saya untuk melakonkan watak sebagai atlet pickleball.
"Pada mulanya saya hanya bermain untuk berseronok dan mengisi masa lapang, tetapi takdir membawa saya ke set penggambaran.
"Bila dikenang semula, semuanya berlaku dengan begitu pantas dan saya sangat bersyukur dengan peluang ini,” katanya yang turut memuji sikap profesional Anna Jobling dan Aedy Ashraf yang banyak membantu memberikan keyakinan sepanjang proses penggambaran dijalankan.
Hero kegilaan ramai
Bercerita lanjut mengenai watak Ghazali, Arfie menjelaskan, karakter tersebut memikul mesej yang sangat dekat dengan realiti kehidupan masyarakat di luar sana. Baginya, penonton akan dapat melihat bagaimana seorang individu yang serba kekok mampu mencabar kebolehan diri demi mencapai sesuatu matlamat.
“Dia seorang pelajar yang pintar, tetapi langsung tidak mempunyai pengalaman dalam sukan. Cabaran terbesar adalah untuk menunjukkan proses perubahan seorang individu yang pada awalnya serba kekok sehingga akhirnya berani mencabar dirinya sendiri.
"Apa yang saya suka mengenai Ghazali ialah perjalanan persahabatannya dengan Diba. Watak Diba bukan sekadar rakan sepasukan, tetapi individu yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya.
"Bagi saya, Ghazali membawa mesej yang sangat dekat dengan kehidupan. Dia membuktikan seseorang tidak perlu mempunyai bakat sejak awal untuk berjaya.
"Dengan disiplin, usaha yang konsisten dan sokongan daripada orang di sekeliling, kita mampu berkembang menjadi versi diri yang lebih baik,” ujarnya panjang lebar.
Sementara itu, bagi heroin kegilaan ramai, Anna Jobling, memegang watak sebagai Diba memerlukan dia keluar dari zon selesa memandangkan dirinya langsung tidak mempunyai pengalaman asas dalam sukan tersebut sebelum ini.
Bagaimanapun, pelakon jelita berusia 26 tahun itu tidak menjadikan ia sebagai alasan, sebaliknya sanggup meluangkan masa menjalani latihan intensif demi menghidupkan watak berkenaan dengan impak yang paling berkesan.
“Demi menjayakan watak dan memberikan persembahan yang meyakinkan, saya meluangkan masa untuk mempelajari asas permainan serta menjalani latihan sebelum penggambaran bermula.
"Saya melihat peluang ini sebagai satu pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana bukan saja dapat mencuba sesuatu yang baharu, malah memahami semangat kesukanan yang menjadi tunjang cerita ini.
"Walaupun pada awalnya agak mencabar, saya semakin seronok apabila mula memahami teknik dan rentak permainan pickleball.
"Saya berharap penonton dapat merasai kesungguhan kami dalam membawakan kisah ini dengan sebaik mungkin,” kongsi Anna mengenai pengalamannya.
Pickleball satu fenomena
Dalam pada itu, beralih kepada sudut pandang penerbit, Presiden UTV, Datuk Adzliana Hasan mendedahkan keputusan untuk mengangkat sukan berkenaan sebagai latar utama naskhah ini adalah sebagai satu langkah segar untuk memberikan kelainan buat penonton tempatan yang mungkin sudah terbiasa dengan sukan arus perdana yang lain.
“Kalau sebelum ini saya pernah menghasilkan drama berunsurkan komedi romantik, percintaan, seram dan thriller, kali ini kami mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza.
"Pickleball sedang menjadi fenomena dan dimainkan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
"Saya fikir inilah masa yang sesuai untuk mengangkat sukan ini dalam sebuah telefilem. Kalau badminton atau bola sepak sudah banyak dipaparkan dalam drama, mengapa tidak kita cuba sesuatu yang baharu?
"Harapan saya, telefilem ini bukan sahaja menghiburkan, malah dapat memperkenalkan lagi sukan pickleball kepada masyarakat,” jelasnya.
Naskhah berkenaan mengisahkan tentang perjalanan Diba yang meninggalkan pasangan regu asalnya demi membentuk gandingan baharu bersama Ghazali sehingga akhirnya membibitkan sebuah kisah cinta yang penuh emosi ini.