BERCUTI di pulau peranginan popular seperti Bali, Indonesia pastinya menjanjikan momen indah yang sukar dilupakan.
Namun bagi pempengaruh media sosial, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Space Dollah, percutian bersama keluarga baru-baru ini bertukar menjadi detik paling ngeri dalam hidupnya.
Siapa sangka, jeritan meminta tolong di tengah lautan hampir menjadi nafas terakhirnya jika tidak diselamatkan oleh adiknya yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Kejadian yang berlaku pada Rabu lalu itu benar-benar menguji keegoan dirinya yang sebelum ini begitu yakin dengan kemahiran berenang yang dimiliki.
Mengimbas kembali detik cemas menerusi sebuah video berdurasi enam minit di akaun media sosialnya, Space Dollah mengakui kesilapan terbesarnya adalah kerana terlalu memandang rendah pada kekuatan ombak.
Detik mencemaskan itu bermula apabila dia berenang bersama Syed Saddiq dan beberapa ahli keluarga lain, sebelum mengambil keputusan untuk bergerak lebih jauh ke tengah laut.
"Ombak pula nampak biasa saja, tapi saya silap besar. Saya terus berenang semakin jauh sehingga tidak sedar ombak menarik saya ke tengah laut. Semakin jauh saya berada dari pantai, semakin kuat ombak menghentam saya.
"Pada masa itulah saya sedar saya sudah terlalu jauh dan perlu kembali ke pantai, tetapi keadaan menjadi semakin sukar," katanya yang mula cemas apabila menyedari situasi tersebut sudah di luar kawalannya.
Suasana menjadi semakin kritikal apabila dia gagal menjejakkan kaki ke dasar laut dan segala usaha untuk melawan arus yang kuat menemui jalan buntu.
Dalam keadaan fizikal yang semakin longlai, dia hanya mampu berserah sambil mengharapkan keajaiban berlaku.
"Pada awalnya saya cuba bertenang. Saya sandarkan badan ke belakang dan berharap ombak akan membawa saya kembali ke pantai. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila saya ditarik semakin jauh ke tengah.
"Ketika itu saya sedar keadaan sudah menjadi serius. Saya mula terminum air laut dalam jumlah yang banyak dan tenaga semakin lemah.
"Saya menjerit meminta tolong beberapa kali sambil melihat adik saya dan rakan-rakan berada tidak jauh dari situ, tetapi tiada siapa yang mendengar kerana bunyi ombak terlalu kuat," kongsinya lagi.
Kehilangan tenaga yang mendadak akibat terlalu banyak tertelan air masin membuatkan pempengaruh ini mula pasrah dan merasakan masanya di dunia ini sudah hampir ke penghujung.
Malah, ingatan terhadap kematian begitu kuat menyelubungi dirinya ketika berpaut pada sisa-sisa tenaga yang ada.
Apabila seseorang sudah menjerit meminta tolong di tengah laut, itu bermakna keadaan benar-benar serius. Saya menjerit berkali-kali tetapi tiada siapa yang mendengar.
"Pada saat itu, saya rasa sangat tidak berdaya dan hanya menunggu apa yang akan berlaku seterusnya," ujarnya yang masih terkesan dengan memori hitam itu.
Namun, aturan Tuhan itu mendahului segalanya apabila Syed Saddiq muncul sebagai penyelamat pada saat-saat akhir sebelum abangnya itu tenggelam dibawa arus.
Kehadiran adiknya itu ibarat satu sinar baharu yang merentapnya kembali daripada cengkaman maut.
"Tiba-tiba Saddiq datang dari belakang. Saya sendiri tidak tahu dari mana dia muncul. Ketika itu kaki saya sudah terlalu lemah dan saya sudah tidak mampu berenang.
"Dia berada di belakang saya dan menolak badan saya perlahan-lahan ke arah pantai sehingga saya berjaya sampai ke kawasan yang selamat.
"Selepas tiba di pantai, saya menangis kerana terlalu bersyukur masih diberikan peluang untuk hidup," luahnya yang mengalirkan air mata kegembiraan sebaik sahaja menjejakkan kaki ke daratan yang selamat.
Pengalaman yang hampir meragut nyawanya itu disifatkan sebagai satu tamparan hebat dalam hidup yang mengajarnya untuk lebih menghormati alam.
Dia juga sempat menitipkan pesanan ikhlas buat pengikutnya dan orang ramai agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.
"Kalau Saddiq tidak datang pada waktu itu, saya benar-benar percaya saya sudah tiada. Itu adalah pengalaman paling menakutkan yang pernah saya lalui dan kali pertama saya berdepan situasi yang begitu hampir dengan kematian.
"Hakikatnya, saya yang tinggi dan yakin dengan kemampuan sendiri pun gagal melawan kekuatan ombak. Jangan sesekali menganggap laut itu selamat hanya kerana kita tahu berenang. Jika ombak kelihatan kuat, jangan biarkan anak-anak atau sesiapa berenang bersendirian.
"Bali akhirnya menjadi pengalaman paling menakutkan dalam hidup saya dan saya tidak mahu melalui situasi seperti itu lagi," katanya yang berharap kisah dirinya menjadi iktibar buat semua peminat aktiviti air.