'Kalau arwah suami ada…' Detik sayu Laila Nasir terima menantu sulung, kongsi rasa sebak bercampur gembira

Iklan

DETIK penuh emosi dan syukur menyelubungi pelakon senior, Laila Nasir, 55, apabila satu fasa baharu dalam hidupnya bermula, bukan sebagai ibu kepada anak kecil, tetapi sebagai ibu mentua yang kini menerima kehadiran orang baharu dalam keluarga.

Bagi sesetengah ibu, hari pernikahan anak adalah momen yang sarat dengan senyuman. Namun di sebalik senyuman itu, tersimpan rasa yang sukar digambarkan, antara lega, sebak dan reda apabila anak yang dibesarkan akhirnya melangkah membina kehidupan sendiri.

Iklan
Iklan

Begitulah yang dirasai Laila apabila anak sulungnya, Badrul Mukhriz Yeop Abdullah, 31, selamat mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati, Natilia Fazdina Khaizatul Fairuz dalam sebuah majlis tertutup pada 6 Jun lalu di sebuah hotel di ibu kota.

Pasangan sama cantik sama padan itu, yang masing-masing bertugas dalam sektor pentadbiran, kemudian diraikan sekali lagi dalam sebuah majlis resepsi pada 20 Jun di sebuah premis acara di Puchong yang berlangsung dalam suasana sederhana tetapi penuh makna.

Iklan

Dalam nada tenang namun jelas terselit getar emosi, Laila atau nama sebenarnya Norlaila Nasir mengakui, fasa melepaskan anak sulung bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi sebagai ibu tunggal yang melalui perjalanan hidup dengan kekuatan sendiri.

“Perasaan sedih melepaskan anak sulung ke pangkuan wanita yang kini bergelar isterinya bercampur baur dengan tangisan kegembiraan,” katanya, mengimbau detik yang cukup bermakna itu.

Iklan

Tambahnya lagi, pemergian suami tercinta menjadikan momen tersebut lebih sentimental kerana insan yang sepatutnya berkongsi kegembiraan itu tidak lagi berada di sisi.

“Kalau suami saya masih hidup, tentu dia juga orang paling gembira melihat anak kami ke jenjang pelamin,” ujarnya.

Laila yang membesar di Machang, Kelantan tidak menafikan bahawa perjalanan membesarkan anak sebagai ibu tunggal bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, sokongan keluarga menjadi tunjang utama dalam memastikan segala persiapan perkahwinan berjalan lancar.

“Bukan mudah membesarkan anak seorang diri, tetapi dengan bantuan ibu dan adik-beradik, semuanya dipermudahkan. Persiapan perkahwinan pun banyak dibantu keluarga,” katanya lagi.

Mencuri perhatian peminat

Dalam masa sama, dia turut menitipkan doa agar rumah tangga yang dibina anaknya kekal bahagia dan diberkati hingga ke akhir hayat.

“Hidup berumah tangga ini banyak ragamnya. Yang penting kena saling memahami dan bertolak ansur.

"Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula manusia biasa,” katanya yang sinonim dengan watak Mona dalam drama rantaian Nur di TV3 serta penampilan dalam filem Bayangan Maut dan Harry Boy.

Majlis pernikahan pasangan berkenaan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat serta sahabat rapat, menjadikannya sebuah sambutan yang intim dan penuh keakraban.

Khabar gembira tersebut turut dikongsikan rakan-rakan selebriti menerusi media sosial, sekali gus mencuri perhatian peminat yang mengikuti perkembangan pelakon berkenaan.

Sementara itu, pasangan itu dijangka akan mengadakan majlis bertandang pada 27 Jun ini di sebuah hotel terkemuka di ibu kota yang pastinya bakal melengkapkan lagi siri sambutan penuh bermakna buat kedua-dua keluarga.