SELEPAS lebih sedekad melayari alam rumah tangga, pelakon Hairul Azreen membuktikan bahawa rasa cintanya terhadap isteri, Hanis Zalikha, tidak pernah pudar, malah semakin utuh seiring perjalanan masa.
Menerusi satu perkongsian menyentuh hati di Instagram, Hairul mengimbau kembali detik-detik penting yang menyatukan mereka sebagai suami isteri sambil mengakui keputusan melamar permaisuri hatinya itu di atas pentas pada tahun 2015 merupakan antara perkara terbaik yang pernah dilakukan dalam hidupnya.
"Tak sia-sia saya berusaha melamar dia di atas pentas pada 4 Januari 2015. Kami bertunang pada 21 Mac 2015 dan bernikah pada 5 Jun 2015," tulisnya.
Perkongsian tersebut turut disertakan dengan video memaparkan kehadiran sang isteri di Jakarta baru-baru ini bagi memberikan sokongan kepada suami kesayangannya itu yang menyertai acara kecergasan HYROX, sekali gus mencuri perhatian ramai.
Mengimbau kembali perjalanan cinta mereka, Hairul berkata, dia masih mengingati saat Hanis hadir memberikan semangat ketika dirinya beraksi di pentas akhir Fear Factor pada tahun 2013.
"Saya masih teringat masa dia datang final Fear Factor pada 30 Mac 2013. I love you, baby. Very strong," coretnya.
Ruangan komen pula dibanjiri dengan pelbagai reaksi positif daripada warganet yang tersentuh melihat hubungan pasangan itu, malah ramai menyifatkan mereka sebagai contoh cinta sejati.
"Kalau nak tahu erti cinta sejati, bukan pandang harta, tengoklah Hanis Zalikha. Wanita hebat. Di saat dia mempunyai pelbagai pilihan, dia memilih cinta sejatinya, Hairul Azreen. Saya mengikuti kisah mereka dari dulu, memang benar-benar memberi inspirasi. Masih ada wanita hebat yang memilih lelaki biasa dan menjadikan lelaki itu sangat hebat di mata semua hingga ke hari ini. Semoga rumah tangga kalian berkekalan hingga akhir hayat. Amin."
Seorang lagi pengguna media sosial turut memuji Hairul kerana masih mengingati setiap tarikh penting dalam hubungan mereka.
"Jarang lelaki ingat tarikh-tarikh penting seperti ini. Syabas!"
Tidak kurang juga yang mengucapkan tahniah atas pencapaian Hairul dalam acara kecergasan tersebut.
"Tahniah semua. Walaupun pertama kali menyertai HYROX, tetap berjaya menghabiskan cabaran. Syabas!"
Selain memuji keserasian pasangan itu, ramai juga menyifatkan Hairul dan Hanis seolah-olah tidak dimamah usia.
"Mereka berdua ini tak pernah nampak tua. Memang awet muda."
Malah, ada juga yang berseloroh mengakui masih meminati Hairul walaupun pelakon itu sudah bergelar suami dan bapa.
"Masalahnya, kami yang perempuan ini pun masih tidak habis-habis 'crush' dengan dia. Entah kenapa."
Dalam masa sama, luahan penuh kasih sayang Hairul itu turut mengundang rasa sebak dalam kalangan pengikutnya.
"Kami yang membaca dan menonton pun rasa hendak menangis."