'Kalau tak jatuhkan maruah keluarga, saya...' – Nabila Razali dedah reaksi suami, ulas soal anak kedua & sebab ikut trend

Iklan

MENYENTUH soal kehidupan sebagai seorang ibu bekerja, apatah lagi dalam dunia glamor yang tidak menentu masanya, pelakon dan penyanyi popular, Nabila Razali mengakui cabaran yang digalas bukanlah satu tugas yang mudah.

Namun begitu, bagi wanita berjiwa kental ini, kunci utama kebahagiaan dalam rumah tangga terletak pada kebijaksanaan membahagikan masa dan tolak ansur bersama pasangan hidup.

Iklan
Iklan

Menganggap dirinya bertuah, pelantun lagu Peluang Kedua yang mesra disapa Bella meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang suami yang sangat memahami tuntutan kerjayanya sebagai anak seni.

Kehadiran cahaya mata sulung, Nik Muhammad Bin Nik Iruwan, ternyata melengkapkan lagi fasa kehidupannya kini, biarpun jadual harian sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti seni.

Iklan

"Sejujurnya, menjadi ibu ini bukannya mudah, tambahan pula Bella ini seorang ibu yang bekerja. Tapi Bella percaya keseimbangan dalam perbahagian masa sangat penting.

"Alhamdulillah, Bella ada suami yang sangat supportive dengan carier Bella dan masa kerja Bella. Sebab kita industri ni tak tentu kan masa kita, tak ada fixed time.

Iklan

"Jadi tak banyak sikit, kami berdua berbincang apa yang kita boleh tolak tambah lah. Alhamdulillah setakat ini saya dapat imbangkan masa sebaiknya untuk anak kami Muhammad," katanya sambil tersenyum.

Kesibukan jadual harian itu bagaimanapun tidak menghalang Bella untuk kekal aktif di platform digital, hinggakan nama dan gelagatnya sering kali tular serta menjadi bahan bualan hangat netizen, terutamanya di media sosial.

Menjawab mengenai pandangan orang ramai yang melihat dirinya sebagai seorang yang kelakar dan menghiburkan di media sosial, pemilik nama sebenar, Nur Nabila Mohd Razali sempat berseloroh bahawa sifat itu sebenarnya bukanlah perkara baharu bagi mereka yang benar-benar mengenali dirinya.

Ikut trend

Malah, dia menyifatkan penerimaan positif peminat terhadap personaliti santainya itu sebagai satu bonus sepanjang dia mengemudikan akaun media sosialnya.

"Nak kata kelakar tu orang je lah yang tentukan, tapi untuk Bella sendiri, Bella pun harus mengikut peredaran trend dan sosial media juga.

"Kalau sebagai seorang anak seni, kita nak tunjukkan kualiti kerja kita. Kita nak bagitahu orang yang kita ada lagu baru, kita ada drama baru.

"Dah tak boleh dengan cara yang lama dah. 'Hai semua, saya ada lagu baru, dengarkanlah', orang tak nak dengar kan?

"Jadi tak banyak sikit kita kena join juga anak muda ni, apa orang panggil? Gen Z semua ni. Kita kena ikut flow dia orang supaya kita masih kekal relevan dalam industri.

"Jujur Bella cakap, it's quite hard tapi tak salah mencuba dan tak salah untuk kita berusaha lah," jelasnya lagi tentang sebab utama dia sanggup menyelami trend anak muda masa kini demi kelangsungan kerjayanya.

Menariknya, di sebalik keghairahan mengikut trend semasa, wanita berusia 33 tahun itu tetap meletakkan sempadan yang jelas dan mendedahkan betapa dia sering meminta 'green light' serta pandangan suaminya terlebih dahulu sebelum memuat naik sebarang hantaran video untuk tatapan umum.

Biarpun suaminya seorang yang gemar bersikap bersahaja dan jarang menunjukkan reaksi keterlaluan di hadapan kamera yang mana reaksi spontan itulah yang sering mencuit hati netizen, Bella tetap mengutamakan keharmonian dan nama baik keluarga dalam setiap perkongsian digitalnya.

"Disebabkan dia tak gemar tu lah yang orang suka, muka dia. Tapi macam untuk Bella, sebelum Bella buat post ni, Bella kata, 'Okay tak untuk saya post ni?'

"Ada je yang Bella dah record dia kata macam, 'tak boleh lah, jangan lah'. So Bella tak post lah. Tapi ada macam, 'apa-apa je lah', okay, green light.

"Dia tak akan kata, 'post lah, post lah', dia tak akan cakap macam tu. Dia akan macam, 'suka hatilah'. Maksudnya mungkin, okay lah kot, it's not bad untuk dia.

"Selagi video tersebut tak menjatuhkan maruah keluarga Bella, menjatuhkan air muka seseorang, Bella rasa bukan satu masalah," dedahnya tentang rahsia di sebalik tabir hantaran media sosialnya.

Impian kerjaya

Daripada kisah kemesraan bersama suami, perbualan beralih pula kepada permata hati mereka, Muhammad, yang kini menunjukkan perkembangan yang sangat positif sejak mula melangkah ke alam persekolahan.

Sambil tersenyum bangga, graduan Ijazah Sarjana Muda Senibina itu sempat berkongsi cerita melucukan mengenai minat mendalam si kecil itu terhadap apa sahaja objek yang beroda.

Sehinggakan minat tersebut secara tidak langsung memberi bayangan awal tentang masa depan anak sulungnya itu walaupun dia dan suami mempunyai impian kerjaya yang berbeza buat Muhammad.

"We plan so much lah untuk dia. Macam bapak dia, bapaknya nak dia jadi racer, F1 racer. So kita doa lah kan, semoga termakbul doa tu. Soal jadi anak seni, tak apa, cukup lah mak dia.

"Mak dia tahu betapa susahnya nak jadi anak seni ni. Macam saya, saya nak Muhammad jadi neurosurgeon. Jadi dia dua hal yang berbeza. Tapi apa-apa pun, alhamdulillah sekarang ni Muhammad dah pergi sekolah kan, so banyak benda dia dah belajar.

"Banyak juga dia punya progres dia yang saya kira sebagai mak, sangat berbangga. And funny thing is, dia punya perkataan yang pertama, bukannya mummy or daddy, tapi car.

"Dia punya toys dia pun mostly kereta, apa-apa yang beroda. And kalau benda tu tak ada roda, dia usung macam kereta. So I guess kita semua dah boleh tahu lah kot dia minat ke mana kan," ujarnya panjang lebar.

Melihat kepada kebahagiaan dan kematangan Bella menguruskan keluarga kecilnya sekarang, timbul pula persoalan mengenai perancangan untuk menambah ahli baharu bagi memeriahkan lagi suasana rumah tangga.

Tidak menolak mahupun terlalu meletakkan sasaran, isteri kesayangan Nik Iruwan Datuk Nik Izani memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada rezeki dan takdir ketentuan Ilahi dengan penuh tawakal.

"Tapi untuk yang nombor dua ni sekiranya ada, alhamdulillah. Kalau tak ada, kita boleh fokus dan bagi yang terbaik lah untuk Muhammad.

"Tapi apa-apa pun, doakan lah kami berdua, insya-ALLAH," katanya berterima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan yang terbaik buat perjalanan kehidupan dan kerjaya seninya.