Hari jadi penuh makna! Norman Hakim titip doa buat Marissa, bangga anak miliki pejabat sendiri – ‘Papa nak jadi security…’

Iklan

SETIAP ibu bapa pasti menyimpan impian untuk melihat anak-anak membesar menjadi insan berjaya, bukan sahaja dalam kerjaya, malah memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi.

Begitulah yang dikongsikan pelakon Norman Hakim apabila meluahkan rasa syukur sempena sambutan ulang tahun kelahiran anak perempuannya, Marissa Dania, yang turut diraikan bersama majlis doa selamat dan kesyukuran sempena pembukaan pejabat baharu syarikat milik anaknya itu.

Iklan
Iklan

Menerusi perkongsian di media sosial, Norman mengakui berasa gembira apabila hasrat Marissa untuk mengadakan majlis penuh bermakna itu akhirnya dapat direalisasikan bersama ahli keluarga dan insan terdekat.

"Terima kasih bagi peluang untuk kami bantu adik seadanya," tulisnya.

Iklan

Lebih mencuit hati, Norman sempat berseloroh apabila mengucapkan terima kasih kepada Marissa kerana memilih membuka pejabat berhampiran dengannya.

Iklan

Menurutnya, keputusan itu memberi peluang untuk dia sentiasa memantau keadaan anak kesayangannya.

"Terima kasih juga sebab terima cadangan papa untuk buka pejabat dekat dengan papa.

"Lepas ini papa nak mohon kerja dengan adik boleh? Jadi pengawal keselamatan pun tak apa, asalkan boleh sentiasa tengok-tengokkan adik, pam tayar kereta kalau tak cukup angin, polish calar-balar kereta adik yang makin banyak sejak dah pandai drift sekarang," katanya berseloroh.

Di sebalik gurauan itu, terselit kasih sayang seorang bapa yang sentiasa mahu berada dekat dengan anak, walaupun Marissa kini semakin berdikari dan berjaya mengembangkan empayar perniagaannya sendiri.

Dalam masa sama, Norman turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga, termasuk Mak Long dan Mak Teh serta rakan-rakan Marissa yang terdiri daripada usahawan muda dan pencipta kandungan digital kerana meluangkan masa menghadiri majlis berkenaan.

Baginya, sokongan daripada orang sekeliling menjadi antara faktor penting dalam perjalanan seseorang mengejar kejayaan.

Apa yang lebih menyentuh hati apabila Norman menitipkan doa agar Marissa terus melakar kejayaan bukan sahaja dari sudut material, malah menjadi insan yang membawa manfaat kepada masyarakat.

"Papa tak pernah putus doakan kejayaan yang gemilang untuk adik.

"Sama-sama bantu dan sokong antara satu sama lain," ujarnya.

Mengakhiri perkongsian, Norman menyampaikan ucapan hari lahir penuh kasih buat Marissa dengan mendoakan agar anaknya sentiasa berada dalam lindungan, rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Beliau turut berharap Marissa akan terus menjadi wanita yang bukan sekadar berjaya membina empayar perniagaan, sebaliknya mampu membina insan, menyebarkan kebaikan serta meninggalkan legasi yang memberi manfaat hingga ke akhirat.

"Teruslah menjadi seorang wanita yang bukan sahaja berjaya membina empayar, tetapi juga membina manusia, menyebarkan kebaikan dan meninggalkan legasi yang memberi manfaat hingga ke akhirat.

"Kami semua akan sentiasa berdiri di belakang adik.

Perkongsian itu sekali lagi memperlihatkan bahawa di sebalik kejayaan seorang anak, doa dan sokongan ibu bapa sentiasa menjadi kekuatan terbesar yang mengiringi setiap langkah mereka.