BEKAS personaliti televisyen, Zakiah Anas kini dilimpahi rasa kesyukuran dan kegembiraan selepas selamat menerima menantu baharu baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di laman sosial, bekas pengacara program ikonik 999 itu memuat naik momen indah majlis pernikahan anak lelakinya, Amir Muzhaffar bersama wanita pilihan hati, Mimi.
Majlis yang berlangsung pada 28 Jun 2026 itu memperlihatkan Zakiah mengiringi fasa baharu kehidupan anakandanya dengan doa yang menyentuh hati.
"Melangkah ke fasa baharu. Doa mama sentiasa mengiringi setiap langkahmu. Selamat pengantin baru Adik & Mimi.
"Baarakallahu laka wa baaraka 'alaika wa jama'a bainakuma fii khair. Semoga ALLAH memberkati perkahwinan adik dan Mimi. Love u both so much," titipnya penuh kasih sayang.
Sebagai seorang ibu, tiada apa yang lebih mendamaikan selain melihat kebahagiaan anak-anak. Zakiah turut berharap agar mahligai yang dibina diberkati dan diredai-NYA.
"Ya ALLAH, rahmatilah perkahwinan anakku. Jadikanlah mereka pasangan yang saling melengkapi dan menyayangi kerana-MU. Aaminnn allahumma Aaamin," kongsinya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis tidak putus-putus mengucapkan tahniah atas kehadiran menantu dalam keluarga.
Sekadar info, Zakiah merupakan pengacara pertama 999 dan mengendalikan program tersebut sejak ia mula diterbitkan pada tahun 2002 sehingga 2009.
Sumber: Instagram