KEPETAHANNYA suatu ketika dahulu pernah mencuri perhatian ramai. Siapa tidak kenal dengan anak gadis kepada pengarah terkenal tanah air, Aziz M Osman dan Puteri Lily Lokman iaitu Ara Aziz.
Selepas menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) pada tahun lalu, pemilik nama Puteri Nur Azzahra itu terus menjadi inspirasi selepas melangkah ke institusi pengajian tinggi.
Impiannya mahu bergelar seorang pakar bedah otak itu hampir menjadi kenyataan apabila dia secara rasmi melangkah masuk ke menara gading pada usia seawal 15 tahun!
Menerusi perkongsian terbaharu di laman sosial, Ara meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga tatkala menjejakkan kaki ke kampus.
Detik bersejarah itu disifatkan oleh Ara sebagai satu memori indah yang amat bermakna dan tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.
"Hari penuh emosi (sentimental) yang takkan pernah saya lupakan. Melangkah masuk ke @manipalucmsia sebagai salah seorang pelajar termuda adalah sesuatu yang mengujakan sekali gus merendah diri.
"Setiap perjalanan yang hebat bermula dengan satu langkah, dan hari ini, perjalanan saya bermula," tulisnya.
Artikel berkaitan:
- Ara Aziz hadapi peperiksaan akhir IGCSE, bakal masuk universiti umur 15 tahun
- 'Bukan senang Ara Aziz terima orang baharu.' Puteri Lily kembali bergelar isteri selepas tiga tahun
Ibunya, Puteri Lily Lokman ketika dihubungi SinarPlus mengesahkan Ara melanjutkan pengajian peringkat asasi di sana.
"Ara memang sejak kecil suka subjek sains.
"Mana tahu tengah belajar dia nampak minat kepada bidang lain. Just explore everything," katanya.
Malah Ara juga selalu menunjukkan kecenderungan dalam bidang sains.
"Apa pun, saya ingin berkongsi sesuatu tentang Ara. Sejak kecil lagi, dia bukanlah seorang yang suka menilai orang lain. Sekiranya dia melihat tingkah laku seseorang, dia akan bertanya, 'Bagaimanakah otak orang itu boleh berfikir sedemikian? Apakah yang membuatkan setiap otak manusia berfikir secara berbeza?
"Disebabkan itulah dia sememangnya bercita-cita untuk menjadi pakar bedah otak. Katanya, ciptaan ALLAH ini sangat menarik; bentuk otak adalah sama, tetapi bagaimanakah corak pemikiran boleh berbeza-beza? kongsi Puteri Lily.
Kepada Ara yang bakal genap 15 tahun 31 Ogos ini, Puteri Lily menitip harapan agar anak gadis itu tidak mudah berputus asa. Baginya, tidak perlu mengejar kesempurnaan tetap mencapai versi diri yang terbaik.
"Sebagai ibu saya mengharapkan yang terbaik. Kita ni bukan selalu ada di sisinya. Tak boleh selalu ingatkan setiap langkah. Saya selalu pesan, mommy tidak perlukan Ara menjadi sempurna. Mommy cuma nak Ara terus bangun setiap kali terjatuh.
"Orang yang berjaya bukan tidak pernah gagal tapi orang yang tidak berhenti berusaha.
"So harapan saya semoga Ara menjadi versi terbaik dirinya dan ingat, walau apa pun yang terjadi mommy menyokong dan sentiasa di belakang" kongsinya.
Ara merupakan cahaya mata hasil perkahwinan produser Puteri Lily Lokman dan bekas suaminya, pengarah terkenal Aziz M Osman.
Peserta Talk To My Manager musim pertama itu juga memiliki seorang adik lelaki bernama Putera Muhamad Aryan.
https://dai.ly/x9rbudc