Krem satu badan hingga hampir mengalah, Syed Saddiq terharu kutipan larian amal cecah RM361,848 – '50 sen pun sangat bermakna'

Iklan

BUKAN sekadar langkah demi langkah menuju ke destinasi, tetapi sebuah perjalanan yang membawa mesej kesyukuran, ketabahan dan kepedulian terhadap masyarakat.

Selepas dua hari meneruskan misi Larian Kesyukuran, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa terharu apabila kutipan dana yang dikumpulkan sudah mencecah RM361,848, jauh melepasi sasaran asal RM200,000.

Iklan
Iklan

Misi yang dirancang selama empat hari itu dimulakan dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3 menuju ke Muar, Johor, sebagai tanda penghargaan selepas melalui perjalanan panjang dalam memperjuangkan nama dan maruahnya.

Dalam masa sama, larian tersebut turut membawa misi kebajikan apabila dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi membantu masyarakat di kawasan Parlimen Muar, termasuk menyediakan bakul makanan kepada golongan memerlukan serta membeli iPad untuk mahasiswa yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Iklan

Sebelum memulakan misi itu, Syed Saddiq menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 dalam tempoh empat hari. Namun, sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia membolehkan sasaran tersebut dicapai lebih awal.

Iklan

“Sejujurnya, saya sendiri masih terkejut tengok angka ini. Sasaran asal kita ialah RM200,000 dalam masa empat hari. Tetapi dalam masa dua hari saja, kita bukan sahaja dah capai, malah dah melebihinya,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Menurutnya, setiap sumbangan yang diterima amat bermakna kerana ia hadir daripada keikhlasan ramai pihak yang mahu bersama-sama menjayakan usaha kebajikan tersebut.

Namun, di sebalik kutipan yang membanggakan itu, perjalanan larian berkenaan bukanlah mudah. Syed Saddiq berkongsi cabaran yang dilalui ketika meneruskan perjalanan dari Labu, melalui Seremban dan Pedas.

Beliau mengakui tubuhnya mula diuji apabila mengalami kekejangan hampir di seluruh badan sehingga ada ketika berasa sukar untuk meneruskan langkah.

“Hari ini badan memang tersiksa. Krem satu badan dan ada masa saya sendiri rasa sangat susah untuk teruskan,” katanya.

Tidak  mampu  berlari

Cabaran bertambah apabila hujan turun dengan sangat lebat ketika berada di Pedas. Malah, bagi tiga kilometer terakhir menuju ke Kota, beliau terpaksa memperlahankan rentak apabila tidak lagi mampu berlari.

“Untuk 3km terakhir menuju ke Kota, saya dah tak mampu nak berlari dan terpaksa berjalan,” ujarnya.

Bagaimanapun, semangatnya kembali membara apabila melihat orang ramai masih setia menunggu di tepi jalan untuk memberikan sokongan.

“Tetapi apabila sampai dan nampak lautan manusia menunggu, semangat itu datang balik,” katanya yang terharu dengan sambutan diterima.

Lebih menyentuh hati, sepanjang perjalanan itu terdapat mak cik dan pak cik yang hadir menghulurkan sumbangan wang tunai sebagai tanda sokongan. Menurut Syed Saddiq, nilai sumbangan bukanlah ukuran utama kerana setiap pemberian membawa makna tersendiri.

Malah, sumbangan paling kecil yang diterima hanyalah 50 sen, namun tetap dianggap cukup bernilai.

“Bagi saya, bukan besar atau kecil jumlahnya, setiap sen membawa makna kerana semuanya datang daripada hati,” katanya.

Dengan kutipan yang telah melebihi sasaran awal, Syed Saddiq memaklumkan bantuan yang dirancang akan diperluaskan agar lebih ramai keluarga menerima manfaat dan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada peranti pembelajaran.

“Kami akan lipat gandakan bantuan untuk masyarakat semua. Lebih banyak keluarga akan menerima bantuan dan lebih ramai pelajar akan mendapat akses kepada peranti pembelajaran,” jelasnya.

Menghargai setiap individu yang menyumbang, berkongsi dan memberikan sokongan sepanjang perjalanan itu, Syed Saddiq menyifatkan misi berkenaan bukan lagi perjalanan seorang individu, tetapi usaha bersama rakyat Malaysia.

“Ini bukan lagi perjalanan saya seorang, ini perjalanan kita bersama,” katanya.