Dari Itali ke Penang, Gustoso hidangkan keaslian pasta, risotto dan cita rasa Itali dengan sentuhan tempatan

Iklan

SUASANA santai di PARKROYAL Penang Resort tersimpan sebuah pengalaman gastronomi yang membawa tetamu menikmati cita rasa Itali melalui hidangan yang menggabungkan tradisi kulinari Itali dengan sentuhan tempatan.

Restoran Gustoso bukan sekadar ruang menjamu selera, tetapi sebuah pengalaman yang meraikan keunikan masakan Itali, daripada pemilihan bahan, teknik penyediaan hinggalah kepada cara menikmati makanan sebagai sebahagian daripada budaya dan gaya hidup.

Iklan
Iklan

Menurut Cef Eksekutif Aidiyusman M. Y, nama Gustoso berasal daripada perkataan Itali yang membawa maksud sesuatu yang enak, penuh rasa dan memberikan kepuasan kepada deria rasa.

“Bila kita bercakap tentang Gustoso, ia bukan sekadar tentang rasa yang sedap. Ia adalah tentang bagaimana makanan dihargai daripada kualiti bahan, keseimbangan rasa, hingga cara sesuatu hidangan itu dinikmati,” jelasnya.

Iklan

Konsep tersebut diinspirasikan daripada falsafah masakan Itali yang menekankan kesederhanaan, di mana setiap bahan diberi perhatian agar rasa aslinya dapat diketengahkan.

Dalam budaya makanan Itali, hidangan yang baik tidak semestinya bergantung kepada penggunaan banyak bahan, tetapi bagaimana setiap ramuan digabungkan dengan tepat untuk menghasilkan rasa yang seimbang.

Iklan

“Saya selalu tekankan, masakan Itali bukan tentang terlalu banyak bahan. Ia adalah tentang memahami setiap bahan dan bagaimana ia boleh menghasilkan keseimbangan rasa yang terbaik. Kalau pasta, kita jaga teksturnya. Kalau sos, kita pastikan keseimbangan rasa dikekalkan,” tambah cef itu lagi.

Bagi mengekalkan cita rasa Itali, restoran tersebut menggunakan bahan pilihan termasuk beras carnaroli dari Itali yang terkenal untuk penyediaan risotto, serta keju Itali seperti Pecorino dan Grana Padano. Pada masa yang sama, elemen tempatan turut diberi ruang melalui penggunaan hasil laut segar dari perairan Malaysia serta bahan segar tempatan bagi melengkapkan setiap hidangan.

Keaslian Itali, kesegaran tempatan

Gabungan antara bahan berkualiti dari Itali dan hasil tempatan mencipta keseimbangan unik yang mencerminkan identiti Gustoso, menggabungkan kulinari Itali dengan kekayaan bahan segar Malaysia.

Namun, membawa pengalaman masakan Itali kepada selera tempatan juga mempunyai cabarannya tersendiri. Menurut Aidiyusman, hidangan perlu disesuaikan dengan cita rasa masyarakat di sini tanpa menghilangkan karakter asal masakan Itali.

“Orang Malaysia biasanya menggemari rasa yang lebih menyerlah. Jadi, kita lakukan sedikit penyesuaian dari segi keseimbangan rasa, tetapi asas dan jiwa masakan Itali tetap dikekalkan,” katanya.

Antara hidangan pilihan di Gustoso termasuk Seafood Spaghetti yang mengetengahkan kesegaran hasil laut, Spaghetti alla Puttanesca yang menggabungkan rasa masin, herba dan sedikit kepedasan, serta risotto gamberoni yang menggunakan teknik penyediaan klasik Itali dengan sentuhan udang tempatan yang segar.

Bagi pembuka selera, Gustoso salad menawarkan gabungan bahan segar yang ringan dan menyegarkan. Turut menjadi pilihan ialah hidangan klasik seperti bolognese black angus dan carbonara yang disediakan dengan bahan berkualiti bagi mengekalkan rasa yang seimbang dan memuaskan.

Bagi Aidiyusman, pengalaman menjamu selera di Gustoso bukan hanya tentang makanan, tetapi juga tentang mencipta momen yang bermakna.

“Bagi saya, apabila pelanggan menikmati hidangan dan mereka tersenyum tanpa perlu berkata apa-apa, itu sudah menjadi tanda bahawa makanan tersebut berjaya menyampaikan sesuatu kepada mereka,” kongsinya.

Setiap hidangan di premis itu membawa gabungan rasa Itali dan inspirasi tempatan, mencipta pengalaman menjamu selera yang bermakna dan sukar dilupakan.