KETIKA ramai anak muda berlumba-lumba mengejar kestabilan kerjaya, gaji tetap dan masa depan yang lebih terjamin, pempengaruh media sosial, Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai Madnor, memilih jalan yang penuh dengan tanda tanya.
Tiada jaminan pendapatan bulanan, tiada kepastian bagaimana perjalanan seterusnya, namun satu perkara yang menjadi keutamaan dalam hatinya ketika itu adalah keluarga.
Buat Madnor, keputusan meninggalkan pekerjaan tetap bukan kerana mahu mengejar populariti atau sekadar mencuba nasib dalam dunia perniagaan, tetapi kerana satu tanggungjawab besar sebagai seorang anak.
Segalanya berubah apabila ibunya diserang strok pada awal 2025. Dalam sekelip mata, Madnor berdepan persimpangan antara tuntutan kerjaya dan keperluan untuk berada di sisi insan yang paling berjasa dalam hidupnya.
“Pada mulanya majikan beri peluang untuk saya bekerja secara fleksibel. Saya cuba uruskan kerja, kemudian balik untuk mandikan mak dan menjaganya.
“Tapi lama-kelamaan saya penat. Akhirnya saya buat keputusan berhenti supaya saya benar-benar ada masa untuk keluarga,” katanya ketika ditemui secara eksklusif oleh SinarPlus.
Menurut Madnor, keputusan itu bukan mudah kerana ia bermakna dia perlu melepaskan satu perkara yang memberikan kestabilan demi sesuatu yang tidak pasti.
Namun, dia percaya ada masa dalam kehidupan seseorang perlu memilih perkara yang lebih utama.
“Kerjaya boleh dibina semula, tetapi masa bersama ibu ketika dia perlukan kita mungkin tidak akan berulang,” ujarnya.
Berani bermula semula
Selepas meninggalkan pekerjaan tetap, Madnor mula membina kehidupan sebagai individu yang bekerja sendiri. Kini selepas setahun dua bulan menguruskan perniagaan sendiri, dia mengusahakan rental studio yang menyediakan ruang untuk penghasilan kandungan seperti podcast dan rancangan memasak.
Selain itu, dia turut mengendalikan podcast miliknya sendiri dengan sumber pendapatan melalui kerjasama penajaan.
Bagaimanapun, Madnor mengakui kehidupan sebagai usahawan jauh berbeza berbanding ketika makan gaji.
“Dulu kita boleh balik awal, sekarang tidak semestinya. Bila kita ada staf, tanggungjawab kita bertambah sebab ada orang lain yang bergantung kepada kita,” katanya.
Malah, Madnor tidak menafikan ada rasa takut dan tidak yakin sepanjang melalui fasa perubahan itu.
“Saya rasa insecure juga sebab walaupun bisnes kita belum besar, ada staf yang perlu kita fikirkan. Dulu tanggungjawab saya kepada keluarga, sekarang bertambah lagi dengan mereka yang bekerja bersama saya.
“Struggle itu lebih besar, tetapi saya percaya sesuatu yang bermula dari bawah memang memerlukan perjuangan,” katanya.
Ubah persepsi tentang perkahwinan
Selain berkongsi perjalanan membina kerjaya sendiri, Madnor turut dikenali kerana sering menyuarakan pandangan mengenai gaya hidup dan budaya berbelanja berlebihan dalam kalangan anak muda.
Baginya, antara perkara yang perlu diperbetulkan ialah persepsi bahawa seseorang perlu memiliki segala-galanya sebelum mendirikan rumah tangga.
Menurut Madnor, kehidupan berumah tangga tidak semestinya perlu bermula dengan kemewahan kerana yang lebih penting ialah kesediaan pasangan untuk membina kehidupan bersama.
“Tapi bagi saya, bermula dari bawah pun tidak salah. Umur 25, 26 tahun, apa yang kita harapkan? Kita masih muda, memang ada fasa kita jatuh dan bangun,” katanya.
Tambahnya, pasangan muda tidak perlu terlalu terikat dengan pandangan orang sekeliling sehingga sanggup memaksa diri di luar kemampuan.
“Kahwin biasa-biasa pun tidak mengapa. Buat yang asas sahaja, yang penting kita bersedia menghadapi perjalanan selepas itu,” ujarnya.
Bagi Madnor, cabaran ketika bermula dari bawah sebenarnya akan menjadi kenangan yang lebih bermakna pada masa hadapan.
“Bagaimana ibu dan ayah bina kehidupan bersama, bagaimana susah senang itu dilalui bersama. Itu yang menjadikan perjalanan hidup lebih manis,” katanya.
Gunakan usia muda untuk bersedia
Dalam masa sama, Madnor mengingatkan golongan muda supaya tidak hanya melihat kehidupan dari sudut yang indah sahaja.
Menurutnya, kehidupan ibarat cuaca yang berubah-ubah dan seseorang perlu bersedia menghadapi fasa sukar.
“Tabung kecemasan sangat penting. Sekarang mungkin kita rasa semuanya baik, ibu bapa masih sihat, komitmen belum banyak, tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya.
Madnor berkongsi, pengalaman berdepan ujian ibunya menjadi pengajaran besar bahawa persediaan awal amat penting dalam kehidupan.
“Bukan nak menakutkan sesiapa, cuma kita perlu sedar bahawa hidup ini ada hari cerah dan ada hari mendung. Kita kena bersedia,” katanya.
Bagi Madnor, kejayaan bukan semata-mata tentang memiliki segala-galanya pada usia muda, tetapi keberanian untuk membuat pilihan, bertanggungjawab terhadap keputusan sendiri dan terus melangkah walaupun perjalanan itu tidak mudah.
Kerana kadangkala, jalan yang penuh cabaran itulah yang membawa seseorang kepada makna sebenar sebuah kehidupan.