BERGELAR ibu kepada empat cahaya mata pada usia yang masih muda bukan satu perjalanan yang mudah.
Namun, bagi pempengaruh Mekdinda, pengalaman membesarkan anak-anak menjadi pendorong untuk dirinya menjaga kesihatan, penampilan dan kesejahteraan diri.
Sejak kebelakangan ini, perubahan fizikal pemilik nama sebenar, Nur Syahidatul Najwa Shukor semakin menjadi perhatian apabila ramai menyedari dirinya kelihatan lebih langsing dan segar.
Bagaimanapun, perubahan itu bukan sekadar mengejar bentuk badan ideal, sebaliknya lebih kepada usaha menjadi ibu yang lebih sihat dan bertenaga buat keluarga tersayang.
Menurut jurusolek profesional dan juga pengasas produk kecantikan, keputusan untuk mengubah gaya hidup dibuat kerana tanggungjawabnya sebagai ibu yang perlu sentiasa mempunyai tenaga menguruskan anak-anak yang masih kecil.
“Pastinya pertama sekali nak sihatlah. Sebab bila kita bermain dengan anak ramai ini, anak kecil-kecil, kita sebagai ibu dan wanita kena sihat.
“Jadi, kita kena sentiasa ambil tahu dari segi kesihatan, kecantikan dan segala aspek. Sebab kita ada anak-anak, memang kena guna kudrat. Orang Kedah kata ‘kederak’, badan kita memang kena sihatlah,” katanya kepada SinarPlus.
Berkongsi mengenai rutin yang dilakukan, Mekdinda memberitahu dia mendapatkan pandangan pakar selain menjaga pemakanan bagi mencapai tahap kesihatan yang lebih baik.
“Apa yang saya buat untuk diri saya adalah saya ada berjumpa dengan doktor, ambil rawatan doktor. Saya juga jaga makan. Nasi pun saya tak makan selama tiga hingga empat bulan untuk dapatkan kesihatan yang lebih baik.
“Sebab dulu badan kita faktor tinggi, sampai alhamdulillah makin sihat. Saya buat semua ini untuk anak-anak,” ujarnya.
Sebagai seorang pempengaruh, Mekdinda mengakui penampilan juga menjadi salah satu perkara yang perlu diberi perhatian kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab dalam bidang yang diceburi.
Menurutnya, perubahan diri bukan semata-mata untuk memenuhi pandangan orang lain, tetapi lebih kepada usaha menjadi contoh yang baik kepada pengikut dan keluarga.
“Bila kita jadi influencer, selalunya kalau kita tak nampak presentable, orang akan bercakap. Jadi itu salah satu punca untuk saya menjadi lebih baik, lebih ke depan ataupun jadi orang baharu.
“Kenapa tidak untuk kesihatan juga dan kecantikan? Bila kita dalam keadaan sihat, semuanya lebih nampak. Itulah contoh terbaik sebagai seorang influencer,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan memperbaiki diri tidak terlepas daripada komen negatif. Mekdinda mengakui pernah menerima pelbagai kecaman sejak mula aktif di media sosial, namun menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat.
“Daripada dulu 2018 sampai 2026, saya kena kecaman yang sama saja. Dulu orang kata saya macam ‘Fazirah cinta kolesterol’ sebab bila saya solek kadang-kadang muka nampak macam inspirasi ikut Erra Fazira dan sebagainya. Dulu saya ada double chin.
“Jadi itulah salah satu punca untuk saya menjadi lebih baik, lebih sihat, lebih cantik untuk keluarga, diri sendiri dan untuk suami juga,” katanya.
Menurut Mekdinda, kecaman yang diterima tidak lagi menjadi beban kerana dia memilih untuk memberi fokus kepada perkara lebih penting dalam hidupnya.
“Sebenarnya kecaman ini jadi satu pembakar semangat saya untuk berada lebih depan dan lebih maju. Terima kasih juga kepada yang kecam.
“Sebab saya memang buat siaran langsung, jadi dalam live ada yang kecam. Tapi saya anggap itu sebagai motivasi,” ujarnya.
Mengulas mengenai kehidupannya sebagai ibu kepada empat anak, iaitu dua lelaki dan dua perempuan, Mekdinda mengakui cabaran dari segi mental dan fizikal tetap ada, namun dia bersyukur dengan pengalaman yang dilalui.
“Kalau nak jadi influencer, kalau nak jadi macam umi, memang kena kuat semangat. Kena hadap benda-benda macam tu. Tak apa, anggaplah ia sebagai pembakar semangat.
“Insya-ALLAH, buat setakat ini kurus bukan sebab apa, tetapi nak sihat. Kita nak fokus pada anak yang ada dulu. Cukuplah ALLAH bagi rezeki,” katanya.
Walaupun anak-anaknya masih kecil dan jarak usia mereka dekat, Mekdinda melihat perkara itu sebagai satu nikmat yang tidak ternilai.
“Dua lelaki, dua perempuan. Walaupun masih muda sudah punya anak ramai, namun saya tidak kisah. Memang saya ada perancangan untuk besarkan anak-anak dan berjalan bersama-sama.
“Cabaran saya dari segi mental dan fizikal, tetapi sebenarnya saya suka dan gembira sebab muda-muda saya dah dapat rasa banyak pengalaman sebagai seorang ibu.
“Anak saya selang seorang setiap tahun, tetapi saya kuatkan semangat dengan anak-anak. Mungkin sebab saya masih muda, saya rasa saya masih ada kudrat,” katanya.
Bagi Mekdinda, jumlah anak yang ramai bukan sesuatu yang perlu ditakuti kerana setiap rezeki yang hadir sudah ditentukan ALLAH SWT.
“Mereka kata badan masih sihat dan sebagainya, pulunlah orang kata. Lagipun keturunan saya memang anak ramai.
"Saya ikut saja. Rezeki ALLAH bagi, siapa kita nak menghalang,” katanya.