NAMA pelakon dan usahawan terkenal, Fasha Sandha terus mencuri perhatian apabila diumumkan sebagai duta terbaharu Safi Youth Gold Rania, sekali gus membawa bersama kisah perjalanan hidupnya yang penuh inspirasi menerusi kempen Semarakkan Seri Keremajaan.
Bukan sekadar mewakili imej kecantikan luaran, pemilihan Fasha dilihat selari dengan mesej utama kempen tersebut yang mengetengahkan kekuatan dalaman, keyakinan diri serta keupayaan wanita untuk terus menyerlah walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup.
Menurut Pakar Jenama dan Tinjauan Maklumat Safi Malaysia, Kazlina Mohd Kassim, Fasha dipilih kerana memiliki ciri-ciri yang mencerminkan wanita Malaysia masa kini, tabah, berdikari dan sentiasa berani menjadi diri sendiri.
“Fasha adalah personifikasi wanita Malaysia masa kini yang tabah, berdikari dan berani untuk tampil dengan jati diri sebenar.
“Perjalanan hidup beliau mencerminkan aspirasi Semarakkan Seri Keremajaan bahawa setiap wanita berhak menemukan semula keyakinan serta menyerlah dengan cara mereka yang tersendiri,” katanya.
Bagi Fasha, pengalaman hidup yang dilalui selama ini banyak mengajarnya tentang erti menghargai diri dan terus melangkah walaupun berdepan perubahan dalam kehidupan.
Semarakkan Seri Keremajaan
Penglibatannya sebagai wajah Safi Youth Gold Rania turut mengangkat mesej bahawa seri seseorang wanita bukan hanya bergantung kepada penampilan, tetapi turut terpancar melalui keyakinan dan kekuatan jiwa.
Kempen Semarakkan Seri Keremajaan yang diperkenalkan Safi itu hadir dengan pendekatan lebih dekat dengan realiti kehidupan wanita masa kini. Ia bukan sekadar memberi fokus kepada penjagaan kulit atau usaha untuk kelihatan lebih muda, sebaliknya meraikan perjalanan setiap wanita dalam membina semula keyakinan diri.
Kazlina berkata, hasil daripada mendengar pandangan wanita, pihaknya mendapati konsep keremajaan mempunyai makna yang lebih mendalam.
“Selama ini, produk penjagaan kulit untuk tanda-tanda penuaan sering dikaitkan dengan usaha membantu wanita kelihatan lebih muda. Namun, apa yang kami ketahui hasil daripada mendengar pandangan wanita sebenarnya jauh lebih mendalam.
“Ramai wanita memberitahu bahawa apa yang mereka rindukan bukan sekadar kulit yang kelihatan muda, tetapi keyakinan, semangat dan rasa percaya terhadap diri sendiri yang pernah mereka miliki,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam kesibukan memenuhi pelbagai tanggungjawab, ramai wanita sering terlupa untuk memberi perhatian kepada diri sendiri.
Seiring dengan kempen tersebut, Safi turut memperkenalkan wajah baharu rangkaian Safi Youth Gold Rania dengan formulasi dipertingkatkan menerusi teknologi Peptida Kolagen.
Nama ikonik Rania
Antara inovasi yang diperkenalkan termasuk PDRN Booster Repair Serum, serum PDRN Spicule Halal pertama di Malaysia, CycloPeptide Water Elixir, inovasi CycloPeptide pertama di Malaysia, serta Beauty Miracle Oil.
Rangkaian berkenaan dibangunkan khusus mengikut keperluan kulit wanita Malaysia dengan menggabungkan teknologi bertaraf global dan pemahaman terhadap cabaran kulit dalam iklim tropika.
Lebih daripada pelancaran produk, Safi turut mengembalikan nama ikonik Rania yang cukup dekat dengan pengguna setianya sebagai simbol keyakinan, seri wajah dan kecantikan yang kekal relevan sepanjang zaman.
Dalam usaha menghidupkan mesej kempen, Safi turut mengajak 100 wanita Malaysia berkongsi kisah peribadi mengenai pengalaman, cabaran dan perubahan hidup masing-masing.
Lima wanita kemudian dipilih untuk melalui perjalanan transformasi yang memberi fokus kepada kasih sayang terhadap diri, pembinaan keyakinan serta perkembangan peribadi.
Kisah mereka diketengahkan menerusi siri kandungan inspirasi yang memaparkan pelbagai realiti kehidupan wanita, termasuk cabaran dalam hubungan, kehidupan sebagai ibu sepenuh masa, perubahan selepas bergelar ibu, perjalanan sebagai ibu tunggal serta usaha membina kembali keyakinan diri.
Kempen itu turut diperkuatkan menerusi nafas baharu lagu ikonik Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor yang membawa mesej bahawa setiap wanita mempunyai ruang untuk kembali bersinar, tidak kira apa sahaja fasa kehidupan yang sedang dilalui.
Menerusi Semarakkan Seri Keremajaan, Safi Youth Gold Rania mengajak wanita Malaysia meraikan keunikan diri kerana seri sebenar bukan hanya tentang kelihatan muda, tetapi tentang keyakinan untuk menjadi versi diri yang paling bermakna.