MUNGKIN segelintir orang beranggapan, populariti tyang dimiliki merupakan satu kelebihan. Pun begitu, tidak semua selebriti melihat kemasyhuran sebagai 'pasport' untuk mendapatkan layanan istimewa.
Bagi pelakon dan usahawan, Dazrin Kamarudin, apa yang lebih penting bukan sejauh mana nama dikenali, tetapi bagaimana seseorang menjaga integriti ketika membina kerjaya dan perniagaan.
Baginya, setiap impian boleh direalisasikan, namun biarlah melalui jalan yang betul.
Dazrin mengakui dirinya seorang yang gemar mencetuskan idea baharu. Jika ada yang mengatakan sesuatu itu sukar dilaksanakan, beliau lebih gemar mencari penyelesaian daripada terus mengalah.
Namun, semangat itu tidak pernah mengatasi rasa hormatnya terhadap undang-undang.
“Memang idea saya banyak. Kalau orang cakap sesuatu itu tak boleh dibuat, saya akan cari jalan bagaimana nak jadikannya sebagai realiti. Tapi bila buat apa-apa pun, kita kena ikut peraturan.
“Peraturan tetap peraturan. Kalau perlu mohon lesen, mohonlah lesen. Selagi saya tiada kelulusan itu, saya takkan jalankan acara saya,” katanya ketika ditemui pada majlis Weekend Fête Al Aqsa Carpets di pekarangan Al Aqsa Carpets Factory Outlet.
Program perintis yang berlangsung selama tiga hari itu bukan sekadar menghimpunkan komuniti, malah membuka ruang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai.
Dalam berkongsi pengalamannya menguruskan acara, Dazrin berkata, banyak perkara yang kelihatan mudah sebenarnya mempunyai prosedur tersendiri yang perlu dipatuhi.
Dia memberi contoh hasratnya untuk membantu seorang busker sebelum ini. Walaupun niatnya sekadar ingin memberi peluang kepada penghibur jalanan itu membuat persembahan, hasrat tersebut terpaksa diketepikan apabila mengetahui persembahan berkenaan memerlukan lesen yang sah.
“Contohnya sebelum ini, saya berniat mahu membantu seorang busker, tetapi untuk memanggil busker atau penghibur membuat persembahan pun perlu mendapatkan lesen dan mereka tiada. Jika saya nak tunggu, ia akan ambil masa, jadi kita terpaksa akur dengan peraturan tersebut,” katanya.
Bagi Juara Fear Factor Malaysia Musim 1 bersama Hairul Azreen itu, keberanian mengambil risiko memang penting dalam dunia perniagaan. Namun, keberanian itu perlu disertai dengan ilmu, tanggungjawab dan kefahaman terhadap akta serta peraturan yang ditetapkan.
“Kita memang kena berani ambil risiko, tapi dalam masa sama kena tahu akta-akta yang ada. Jangan langgar peraturan sebab kita mahu berbisnes dengan semua orang.
“Hormatlah semua badan penguat kuasa. Kalau kita ikut peraturan, insya-Allah tak ada masalah untuk anjur sesuatu acara. Alhamdulillah, setakat ini saya tak pernah berdepan masalah dengan pihak berkuasa dan memang tak mahu,” ujarnya.
Pembuka laluan
Mengulas persepsi bahawa status selebriti mampu memudahkan segala urusan, anak jati Melaka tersebut tidak menafikan wajah yang dikenali ramai mungkin menjadi 'pembuka pintu' untuk mendapatkan peluang bertemu pihak tertentu.
Namun, menurutnya, kelebihan itu hanya membantu pada permulaan. Apa yang benar-benar menentukan kepercayaan dan kedudukan seseorang dalam dunia perniagaan ialah disiplin serta cara menghormati orang lain.
“Menjadi selebriti, mungkin muka kita ini sebagai 'pembuka laluan'. Tapi apa yang meletakkan kita dalam perniagaan atau posisi yang kuat adalah disiplin serta cara kita menghormati orang lain.
“Kalau nak pergi mesyuarat dengan mana-mana badan penguat kuasa, kita ketuk pintu guna 'tiket' selebriti untuk jumpa, itu tiada masalah. Bila masuk mesyuarat, kita kena tahu apa peraturannya dan apa yang tak boleh dilanggar.
“Tak ada istilah sebab kita selebriti, kita boleh langgar semua benda. Saya langsung tak percaya perkara itu,” ulasnya lagi.
Di sebalik dunia glamor yang sering dikaitkan dengan keistimewaan, anak kedua daripada tiga beradik berkenaan memilih untuk berpijak pada prinsip yang sederhana tetapi cukup bermakna.
Baginya, nama yang dikenali mungkin membuka peluang, namun sikap profesional, disiplin dan rasa hormat terhadap peraturanlah yang akan memastikan peluang itu terus kekal.
Dalam apa juga bidang yang diceburi, kejayaan bukan datang kerana status, tetapi kerana kepercayaan yang dibina melalui tindakan.