KEMUNCULAN penyanyi muda berpotensi besar, Hussain Jamilul Hayat di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) baru-baru ini nyata membuka mata ramai.
Peserta program realiti Big Stage Rocketfuel berusia 23 tahun itu nampaknya makin ligat mencuri perhatian, bukan sahaja menerusi lantunan suara, malah gaya peragaannya di pentas fesyen berprestij tanah air.
Anak kepada penyanyi veteran era 80-an, Jamilul Hayat yang juga sepupu kepada Ahmad Zaki Yamani dan Osama Yamani itu tampil penuh keyakinan memperagakan busana koleksi rekaan EMRI.
Penampilannya di pentas peragaan itu menyerlahkan lagi potensinya sebagai model, ditambah pula dengan raut wajah, fizikal ideal serta ketinggian yang dianggap pakej lengkap untuk terus pergi jauh.
Menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, Hussain tidak melepaskan peluang menitipkan rasa syukur atas peluang emas yang diberikan.
"Terima kasih Abang Emran, Kak Tyra dan seluruh pasukan EMRI atas jemputan ke Kuala Lumpur Fashion Week.
"Semoga kita berjumpa lagi di lain kesempatan," tuturnya.
Langkah berani bintang muda yang mula dikenali menerusi program realiti Talk To My Manager 2 (TTMM2) tersebut ternyata menerima reaksi luar biasa daripada warga maya.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai titipan mesra dan pujian dikirimkan oleh peminat yang terpesona melihat karismanya di atas pentas.
"Selepas ini Hussain dah ada kerja sambilan jadi model selain menyanyi. Terbang tinggi Hussain. Mak cik tiap-tiap minggu pergi MBSA tonton secara langsung sokong awak. Harap dapat tiket untuk peringkat akhir," kata seorang peminat.
"Tahniah Hussain! Macam-macam jalan rezeki terbuka untuk awak. Sekarang dah terserlah bakat jadi model pula. Nampak yakin sahaja berjalan, tak nampak janggal langsung walaupun pertama kali dekat acara besar macam ini. Mantap," puji seorang lagi warganet.
Malah, gaya 'catwalk' yang disifatkan cukup tenang dan maskulin turut diselia baik oleh peminat yang mahu melihat bakat mudanya terus berkembang menjadi anak seni yang versatil.
"Hebat sangat Hussain, memang menyerlah. 'Manly' dan maskulin betul dia berjalan. Semoga Hussain terus maju jaya, jadi contoh pada anak-anak muda lain dan sentiasa ditemukan dengan orang yang baik-baik. Rezeki tak disangka," tambah peminat lain.
Ternyata, tuah dan percaturan berani anak muda ini bukan sahaja menyerlahkan bakat nyanyiannya, malah membuka ruang seluas-luasnya buat Hussain untuk terus menempah nama dalam persada seni tanah air.