Setiap langkah, satu harapan: Larian Langkah Kasih 2026 bersama PEYATIM satukan rakyat Malaysia demi masa depan anak-anak yatim

Iklan

ADA anak-anak yang membesar dengan pelukan ibu dan ayah sebagai tempat bergantung. Namun, ada juga yang perlu belajar berdiri di kaki sendiri lebih awal selepas kehilangan insan tersayang.

Buat mereka, sokongan bukan hanya hadir dalam bentuk bantuan, tetapi juga melalui rasa dihargai, disayangi dan diterima oleh masyarakat sekeliling.

Iklan
Iklan

Atas kesedaran itu, Larian Kasih 2026 hadir bukan sekadar acara menguji stamina atau melengkapkan jarak larian, sebaliknya membawa mesej lebih besar iaitu menyemai kasih sayang serta memberi harapan kepada anak-anak yatim bahawa mereka tidak pernah bersendirian.

Dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM), larian amal yang bakal berlangsung pada 20 September 2026 di Dataran DBKL itu membawa tema"Setiap Langkah Amat Bermakna Untuk Anak-Anak Yatim".

Iklan

Terbuka kepada penyertaan masyarakat umum, program ini menjadi peluang untuk keluarga, rakan-rakan, komuniti serta sektor korporat bergabung dalam sebuah aktiviti yang bukan sahaja menyihatkan tubuh, tetapi turut membawa nilai kemanusiaan yang besar.

Iklan

Lebih daripada sekadar aktiviti riadah, Larian Kasih 2026 mengajak masyarakat menjadikan setiap langkah sebagai simbol sokongan, keprihatinan dan tanda bahawa masih ramai yang mengambil berat terhadap masa depan anak-anak yatim.

Menurut Pengerusi PEYATIM, Profesor Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, konsep larian dipilih kerana ia mampu menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang menerusi aktiviti yang sihat dan penuh makna.

"Larian ialah aktiviti yang menyatukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan agama.

"Kami mahu masyarakat bukan sahaja memberi sumbangan, tetapi turut meluangkan masa bersama anak-anak yatim. Kadangkala, kehadiran, perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan memberi makna jauh lebih besar daripada nilai wang yang disumbangkan," katanya.

SOKONGAN ANAK-ANAK YATIM

Menerusi program tersebut, PEYATIM menyasarkan penyertaan kira-kira 300 anak yatim daripada rumah-rumah kebajikan di bawah gabungan pertubuhan berkenaan.

Mereka akan berlari bersama ribuan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus memberi peluang kepada anak-anak ini merasai pengalaman bahawa mereka sentiasa mempunyai sokongan di sekeliling.

Lebih istimewa, penyertaan dalam Larian Langkah Kasih 2026 memberi pengalaman berbeza apabila peserta bukan sekadar hadir untuk melengkapkan jarak larian, tetapi menjadi sebahagian daripada perjalanan menyebarkan kasih sayang dan sokongan kepada anak-anak yatim.

Sama ada hadir bersama keluarga, rakan-rakan atau rakan sekerja, setiap peserta berpeluang mencipta kenangan bermakna sambil mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.

Bagi PEYATIM, usaha menyantuni anak-anak yatim tidak terhenti kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan aspek pendidikan, pembangunan diri dan pembentukan sahsiah.

Sepanjang tahun, PEYATIM melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program perjumpaan bersama anak-anak yatim, kelas kemahiran dan pembangunan diri, sokongan pendidikan serta mengenal pasti pelajar berpotensi untuk diberikan tajaan melanjutkan pelajaran.

Selain itu, perhatian turut diberikan terhadap keperluan asas seperti penyediaan tempat tinggal yang selesa, makanan yang mencukupi serta ilmu dan kemahiran kehidupan supaya mereka mampu berdikari pada masa hadapan.

Dalam suasana masyarakat yang semakin sibuk dengan rutin harian, program seperti ini membuka ruang untuk orang ramai berhenti seketika, meluangkan masa dan melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Tidak semua orang mampu membantu dalam jumlah yang besar, namun penyertaan dalam acara ini juga menjadi satu bentuk sokongan moral yang mampu memberi semangat kepada anak-anak yatim.

Dalam usaha memperluaskan manfaat kepada lebih ramai anak-anak yatim, sokongan daripada masyarakat umum dan sektor korporat amat diperlukan.

Sumbangan boleh disalurkan dalam pelbagai bentuk termasuk tajaan penyertaan anak-anak yatim, penyediaan keperluan asas, sokongan logistik atau penglibatan sebagai sukarelawan.

MENYEMAI NILAI EMPATI

Menurut Prof Tengku Mahmud lagi, setiap individu mampu memainkan peranan mengikut kemampuan masing-masing.

"Mereka tidak mengharapkan kemewahan, tetapi mereka mendambakan kasih sayang dan rasa dihargai.

"Kadangkala, satu kata-kata semangat atau masa yang diluangkan bersama mampu meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati seorang anak yatim," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PEYATIM Zon Selatan merangkap Pengerusi Program Larian Langkah Kasih, Datuk Mohamad Mahmood, turut menyeru agar lebih ramai individu, organisasi dan syarikat tampil bersama-sama menyokong usaha murni tersebut.

Beliau berkata, setiap sumbangan yang diberikan, tidak kira besar atau kecil, membawa makna yang besar dalam membantu perjalanan hidup anak-anak yatim.

PEYATIM berharap Larian Langkah Kasih 2026 dapat berkembang sebagai satu gerakan tahunan yang menyatukan masyarakat dalam menyemai nilai empati, kasih sayang dan tanggungjawab sosial.

Jadi, buat mereka yang mencari aktiviti bermakna bersama keluarga, rakan-rakan atau komuniti, inilah peluang untuk menggerakkan langkah sambil membawa perubahan kepada kehidupan anak-anak yatim.

Kerana setiap kilometer yang dilalui mungkin berakhir di garisan penamat, tetapi nilai kasih sayang yang dibawa bersama mampu meninggalkan kesan lebih jauh dalam kehidupan mereka.

Larian Kasih 2026, setiap langkah bukan sekadar perjalanan, tetapi tanda bahawa anak-anak yatim sentiasa disokong dan dihargai.

Sebarang pertanyaan media berkaitan Larian Langkah Kasih 2026 boleh diajukan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) melalui Puan Yati Ghani di talian 014 561 3413 atau e-mel yatighani.peyatim@gmail.com.

Layari https://absolutego.my/event/langkah-kasih-2026 untuk pendaftaran.