'Dia dah tahu nak ‘pergi’, bagi wasiat...' – Linda Rafar kongsi kisah arwah Memen lawan kanser, pesanan terakhir anak jadi kekuatan

Iklan

SETIAP ibu pasti menyimpan seribu satu kenangan tentang anak, namun bagi penyanyi dan pelakon Linda Rafar, kisah arwah anak keduanya, Rezaimen Keiflin atau mesra disapa Memen, kekal sebagai antara perjalanan paling mengubah hidupnya.

Berkongsi kisah itu menerusi podcast Studio Sembang, Linda mengimbas kembali detik Memen disahkan menghidap kanser ketika masih di bangku sekolah rendah, perjuangan menjalani rawatan sehinggalah pemergiannya yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup seluruh keluarga.

Iklan
Iklan

Menurut Linda, Memen pada awalnya hanya mengadu sakit perut ketika berada di sekolah. Selepas pemeriksaan awal tidak menunjukkan sebarang masalah, keadaan kesihatan anaknya bagaimanapun semakin merosot sebelum pemeriksaan MRI dilakukan.

“Keluar je nampak ada satu ketumbuhan di dalam perut dia. Ada satu daging bulat seberat satu kilogram. Jadi, kena cepat-cepat keluarkan daging itu,” katanya.

Iklan

Pembedahan yang pada awalnya dijangka mengambil masa sekitar enam jam akhirnya berlanjutan sehingga 12 jam. Selepas pembedahan berjaya, keluarga dimaklumkan Memen perlu menggunakan beg stoma.

Ketika itu, Linda masih belum mengetahui penyakit sebenar yang dihidapi anaknya. Beberapa minggu kemudian, keputusan pemeriksaan mengesahkan Memen menghidap Burkitt lymphoma tahap empat, sejenis kanser yang jarang berlaku.

Iklan

Lebih menyayat hati, Linda masih mengingati reaksi Memen ketika mengetahui dirinya menghidap kanser.

Saya pujuk dia, ‘ALLAH sayang Memen,’” ujarnya.

Dalam keadaan cuba kelihatan kuat di hadapan anak, Linda mengakui dirinya sebenarnya turut bergelut dengan emosi dan ketakutan sebagai seorang ibu.

Namun, perjalanan Memen bukan sekadar tentang kesakitan. Linda turut berkongsi sisi peribadi anaknya yang penyayang dan pemurah.

MEMEN HATI BAIK

Menurutnya, seorang sukarelawan di hospital sering membawa hadiah untuk kanak-kanak yang menjalani rawatan. Walaupun Memen menerima beberapa hadiah, arwah tidak membukanya.

Sebaliknya, hadiah tersebut disimpan di belakang katil kerana mahu memberikannya kepada adik-adiknya.

“Tak buka. Dia memang nak tunggu adik-adik dia. Dia hati yang baik,” kata Linda.

Menjelang pemergiannya, Memen turut meminta supaya wang yang dimilikinya diberikan kepada keluarga selain meninggalkan hadiah untuk adik-adiknya.

Bagi Linda, perkara kecil yang dilakukan Memen itulah antara kenangan paling berharga yang terus hidup dalam ingatannya.

Malah, pengalaman menjaga Memen membuatkan Linda melihat kehidupan daripada sudut berbeza. Jika dahulu perkara kecil seperti makanan yang terhidang mudah dipandang biasa, kini setiap nikmat menjadi sesuatu yang lebih dihargai.

“Memen memang special. Dia mengajar akak untuk jadi better person. Dulu benda kecil-kecil yang tak pernah hargai. Tapi sekarang kalau nampak makan nasi dengan telur ke, apa-apa saja yang Allah bagi, saya dah happy,” katanya.

Linda mengakui pemergian Memen turut meninggalkan ruang sunyi yang sukar digambarkan. Selepas anaknya pergi, dia masih terbawa-bawa dengan rutin harian ketika menjaga Memen sehingga beberapa bulan kemudian.

BERCAKAP DALAM MIMPI

Dalam usaha mencari kekuatan, Linda pernah berdoa agar dapat bertemu Memen dalam mimpi. Hasrat itu akhirnya hadir dalam satu mimpi yang dianggapnya cukup memberi ketenangan.

“Satu hari saya doa nak mimpi dia. Malam itu saya mimpi telefon berdering, dapat panggilan daripada dia. Memen kata, ‘Mama jangan risau, Memen okay di atas bukit yang sejuk," kongsinya.

Dalam mimpi itu juga, menurut Linda, Memen berpesan supaya ibunya terus melakukan kebaikan agar mereka dapat bertemu semula suatu hari nanti.

Biarpun bertahun telah berlalu, kenangan tentang Memen masih menjadi sebahagian daripada kehidupan Linda. Daripada seorang anak yang pernah berjuang melawan penyakit, Memen akhirnya meninggalkan satu pelajaran besar buat ibunya, tentang menghargai masa, keluarga, nikmat kecil dan kehidupan yang dimiliki.

“Dunia ini sebentar saja. Hargai apa yang ada,” kata Linda lagi penuh makna.

Bagi Linda, kehilangan seorang anak bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Namun, kasih seorang ibu juga tidak pernah benar-benar berakhir.

Kini, setiap kali mengenang Memen, bukan hanya kesedihan yang hadir tetapi juga rasa syukur kerana pernah diberi peluang menjaga, menyayangi dan belajar daripada seorang anak yang dianggapnya begitu istimewa.

“Akak terus kuat sebab kita yang jaga anak-anak, kan,” ujarnya.