Sebak baca luahan Sabri Yunus, kain batik arwah mek jadi kenangan Angeline Tan - 'Putus sudah doa seorang ibu...'

Iklan

KEHILANGAN seorang ibu adalah luka paling dalam yang sukar diubati dengan kata-kata. Pemergian insan tercinta bukan sahaja meninggalkan kerinduan yang menebal, malah menyiarkan sejuta kenangan yang kekal abadi di lipatan hati.

Pengalaman menyentuh hati ini dikongsikan oleh pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus menerusi media sosial miliknya menyentuh emosi ramai apabila menceritakan situasi penuh pilu di rumahnya selepas seminggu kepulangan ibu tersayang ke rahmatullah.

Iklan
Iklan

Menurut Sabri, adik bongsunya yang sebelum ini menjaga arwah ibu mereka di kampung telah dibawa ke Kuala Lumpur oleh seorang lagi adik mereka untuk menenangkan fikiran.

Namun, apa yang menarik perhatian adalah sehelai kain batik basahan arwah ibu yang dibawakan khas buat isteri Sabri, Angeline Tan.

Iklan

Sekadar makluman, pasangan tersebut sah bergelar suami isteri pada13 Oktober 2023.

“Kain batik tanahnya hitam dengan corak bunga kecil dua tiga warna untuk Angeline sebagai kenangan," kongsinya.

Iklan

Detik sayu bermula apabila Angeline menerima pemberian berkenaan. Kenangan bersama ibu mertua kembali bertamu hingga menggugurkan air mata.

"Katanya antara dengar dan tidak, tenggelam timbul dalam esakannya... 'Masih terhidu bau mek'...

“Saya hanya angguk kecil," luah Sabri penuh emosi.

Dalam suasana hiba itu, Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan yang masih tersedu-sedu meluahkan rasa kasihnya yang mendalam terhadap arwah ibu mertuanya.

"Dia menarik nafas... kemudian dia kata, 'Angeline tahu mek sayang Angeline... Angeline pun sangat sayang mek," perlahan kata-kata itu keluar... tapi jelas.

Di tengah-tengah keheningan malam dan esakan rindu, Angeline bertanyakan soalan yang paling bermakna tentang apa yang boleh dilakukan buat arwah ketika ini. Sabri dengan tenang memberi titipan nasihat yang cukup mendalam tentang peranan seorang anak selepas pemergian orang tua.

"Saya sambung lagi... 'Kita sekarang dah putus doa dia untuk kita. Doa yang paling tinggi... Doa ibu pada anak. Sepanjang hayat ibu berdoa untuk anak.

“Tuhan Maha Adil. Dia sambung doa kita untuk ibu bapa... sekarang doa anak-anak yang menyambungnya pada Tuhan,” ujar Sabri lagi.

Mendengar bait kata tersebut, Angeline menyeka air matanya. Suaminya itu turut mengingatkan bahawa kasih sayang dan doa tidak terikat pada bahasa, kerana yang paling utama adalah keikhlasan hati.

" 'Doalah dalam bahasa apa pun... Tuhan mendengar,”ungkap Sabri sementara isterinya kembali menangis.

Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diutarakan warga maya yang turut terasa sebaq dan tersentuh dengan luahan ikhlas pasangan ini.

Rata-rata netizen mendoakan ketenangan arwah di alam sana serta berkongsi rasa rindu terhadap orang tua masing-masing.

"Merasainya 20 tahun lalu. Dan 20 tahun juga tiada doa dari seorang ibu. Tu yang kucar bojeng jugok kadang-kadang. Didoakan Mek tenang dan bahagia sekarang di tempat yang ALLAH kasihi," tulis seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi warga maya turut memberikan gambaran keindahan kasih sayang dan hubungan kekeluargaan dalam Islam."Indahnya hidup sebagai orang Islam. Mati itu bukan hilang, cuma pindah alam. Nanti boleh jumpa lagi," katanya.

Ada juga yang tersentuh melihat ketulusan hati Angeline serta kemiripan wajah arwah dengan Sabri Yunus."Sama muka mek dengan muka Abe Yie. Al- Fatihah," tulis netizen.

"Setuju sangat dengan coretan tu... baca terus sebak. Rindu tu benda yang sama rupanya. Sama ada kain, bau, atau suara... semua boleh buat kita menangis. Terima kasih untuk semua doa ma ayah dulu. Kini doa kito sebagai anak pula untuk ma ayah. Al-Fatihah," tambah seorang lagi warga maya.

"Angeline ni dia orang baik sebab tu ALLAH pilih dia masuk Islam melalui perkahwinan dengan Sabri Yunus... moga kita semua sentiasa dikelilingi oleh orang yang baik dalam kehidupan kita... Aamiin," luah seorang pengikut yang mendoakan kebahagiaan mereka.

"Rindu yang tiada penghujung tiada tolak banding, tak terluah oleh kata-kata hanya air mata mengiringi doa. Al-Fatihah," kongsi netizen lain menyimpulkan rasa kerinduan mendalam yang dirasai ramai.

Perkongsian ringkas namun penuh hikmah ini membuktikan bahawa walau jasad telah berpisah, kasih sayang seorang ibu dan bakti seorang anak tidak akan pernah terputus, malah diikat rapat melalui doa yang berpanjangan.